Ibadah korban di luar negara murah

Ibadah korban di luar negara murah

HARGA lembu dan kambing yang jauh lebih murah antara faktor mendorong rakyat negara ini melakukan korban di luar negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kecenderungan rakyat negara ini melakukan korban di luar negara kerana harga lembu dan kambing yang jauh lebih murah iaitu dalam anggaran RM300 hingga RM400 untuk satu bahagian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Syariah EZ Qurban Sdn. Bhd., Mohd. Amirul Kamarudin memberitahu, keadaan itu sudah menjadi trend beberapa tahun kebelakangan ini memandangkan harga lembu dan kambing tempatan didakwa semakin meningkat.

“Harga haiwan sembelihan tersebut boleh cecah RM700 hingga RM1,000 untuk sebahagian jika di dalam negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebab itu ramai buat di luar negara supaya mereka tidak terlepas peluang melakukan ibadah korban. Antara lokasi popular yang menjadi pilihan ramai untuk melakukan ibadah korban ialah di Kemboja dan antara yang termurah adalah di negara-negara Afrika,” katanya semalam.

Beliau mengulas perubahan trend umat Islam dalam negara yang lebih cenderung mahu melakukan ibadah korban di luar negara berbanding di tempat masing-masing.

Ia juga menjadi penyebab mengapa ramai kalangan pengusaha dan penternak lembu mengeluh kerana jumlah tempahan haiwan korban semakin menyusut berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, menurut Mohd. Amirul, meskipun ia dilihat sebagai trend, pihaknya menekankan agar setiap pengguna mengambil tanggungjawab untuk meneliti latar belakang syarikat atau individu lantikan yang menguruskan aktiviti ibadah korban tersebut bagi mengelak sebarang kesulitan.

Katanya, pengguna perlu menyelidik dan mengambil tahu berkaitan pengurusan ibadah korban di luar negara tersebut termasuk penganjurnya.

“Apakah mereka itu syarikat yang berdaftar, berlesen dan badan yang diiktiraf oleh kerajaan dan sebagainya? Kena teliti perkara itu bagi mengelak berlaku sebarang kekeliruan, penipuan, penindasan dan lain-lain.

“Ini kerana apa yang dilakukan itu adalah satu ibadah dan kita mahu memastikan segala urusan transaksi dan aktiviti berjalan dengan sempurna dan baik tanpa sebarang perkara negatif.

“Siapa yang mampu buat dalam negara, sudah tentu kita alu-alukan. Lebih afdal sebenarnya buat di tempat sendiri. Tetapi ada yang kurang mampu dan pilih harga yang lebih rendah , tak jadi masalah pun nak buat di luar negara. Cuma perlu berhati-hati,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×