Ibadah korban di luar negara harus di sisi syarak - Mufti

Ibadah korban di luar negara harus di sisi syarak – Mufti

PENGAGIHAN daging kepada mereka yang memerlukannya sama ada di dalam negara sendiri atau di luar negara perlu diberi penekanan dalam ibadah korban. - UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Umat Islam boleh menjalankan ibadah korban di negeri lain atau di luar negara jika di kawasan sendiri sudah banyak dilakukan sehingga berlaku lebihan daging.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, korban di kawasan atau di negeri lain diharuskan di sisi syarak jika ia didapati sebagai satu keperluan untuk berbuat demikian.

Kata beliau, perkara itu dirujuk menerusi fatwa yang dikeluarkan oleh Darul ifta’ Mesir.

“Perbuatan melakukan ibadah korban di luar negeri atau negara adalah harus di sisi syarak. Mungkin di negara sendiri didapati ramai yang melakukan ibadah ini sehingga menyebabkan daging korban berlebihan.

“Atau mungkin di tempat sendiri tidak ramai fakir miskin maka ibadah ini dilakukan di negara lain di mana terdapat ramai golongan yang lebih memerlukan makanan daripada daging haiwan korban.

“Namun, wajar juga dipertimbang masalah hubungan silaturahim dengan adik-beradik, saudara-mara dan kaum-kerabat yang dapat dipupuk menerusi amalan sedekah dan hadiah daripada ibadah korban tersebut,” katanya semalam.

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR

Beliau mengulas perubahan trend umat Islam dalam negara yang lebih cenderung mahu melakukan ibadah korban di luar negara berbanding di tempat masing-masing.

Ia juga menjadi penyebab mengapa ramai kalangan pengusaha dan penternak lembu mengeluh kerana jumlah tempahan haiwan korban semakin menyusut berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, kata Dr. Wan Salim, apa yang harus ditekankan ialah keperluan daging korban itu dapat diagihkan kepada mereka yang memerlukannya sama ada di dalam negara sendiri atau di luar negara.

“Tidak menjadi masalah jika seseorang melakukan ibadah ini di luar negara disebabkan harga haiwan korban lebih murah berbanding harga di negaranya.

“Apa yang penting ialah niat seseorang melakukan korban iaitu untuk mencapai taqwa dan reda Allah SWT walau di mana sekalipun ia dilaksanakan,” katanya.

MUHAMMAD NADIR AL-NURI KAMARUZAMAN

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman pula berkata, saban tahun pihaknya menerima penyertaan berterusan dari rakyat Malaysia yang mahu melakukan ibadah korban di Palestin biarpun harganya mahal.

“Bagi kes Palestin, tak tepat jika dikatakan ibadah korban di sini lebih murah kerana harga korban di sini mencecah RM2,200 satu bahagian dan dikira antara yang termahal di dunia. Tetapi setiap tahun masih ada penyertaan berterusan dari rakyat Malaysia.

“Untuk negara lain mungkin pertamanya memang dipilih untuk dibuat di luar kerana murah, tetapi saya rasa sebab yang kedua lebih kuat iaitu penduduk Malaysia nampak keperluan yang lebih besar di luar kerana keadaan rakyat lebih miskin dan memerlukan bantuan.

“Pun begitu, tiada masalah sama ada di dalam atau luar negara tapi yang penting pengurusan di luar negara dibuat dengan berhemah, telus dan jujur.

“Kita harap mereka tidak berfokus perniagaan untuk kaut untung dan tak berlaku lambakan seperti di Kemboja sedangkan banyak negara lain seperti di negara-negara Afrika masih ramai yang tak rasa nikmat korban,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×