PETALING JAYA: Ketiadaan Lembaga Unggas bagi menyelia seluruh rangkaian pengeluaran ayam dan telur mendorong pemain gergasi industri menjual ayam di ladang lebih tinggi daripada harga kawalan RM6 sekilogram bertujuan mengaut untung berlebihan.
Satu sumber industri ayam yang ditemui Utusan Malaysia mendedahkan, seratus peratus kartel serta penternak ayam bersepadu atau integrator didakwa jual ayam di ladang pada harga sekitar RM6.80 sehingga RM6.90 iaitu peningkatan 80 sen hingga 90 sen sekilogram ayam.
Sumber tersebut berkata, hal ini dikesan apabila pemilik ladang mengeluarkan dua invois berbeza iaitu RM6 dan satu invois lain mengandungi cas tersembunyi berjumlah 80 sen hingga 90 sen.
Kata sumber, kos-kos tersembunyi bagi ‘menghalalkan’ tindakan menjual ternakan itu melebihi harga kawalan termasuk menggunakan alasan upah menangkap ayam serta sewaan bakul dan raga ayam.
“Seratus peratus kartel dan penternak ayam bersepadu atau integrator menjual ayam di ladang melebihi harga kawalan. Tapi kalau semak invois, ada dua invois yang akan ditemui. Satu, harga mengikut kawalan kerajaan iaitu RM6 sekilorgram.
“Yang mana kalau penguat kuasa turun (ke lapangan), invois itulah yang akan ditunjukkan. Tapi ada satu lagi invois berjumlah 80 sen hingga 90 sen. Jadi, totalnya adalah RM6.80 atau RM6.90. Ladang kartel dan integrator ini akan letak cas tangkap ayam, sewa bakul dan lain-lain lagi untuk menjadikan tambahan 80 hingga 90 sen.
“Jadi, apabila penguat kuasa pergi mereka akan bagi laporan bahawa tiada kes itu (harga ladang ayam dijual melebihi harga kawalan). Semua jual RM6. Walhal, hakikat sebenarnya malah diakui oleh kartel dan integrator, memang mereka jual pada harga RM6.80 hingga RM6.90 sekilogram,” katanya.
Akhbar ini menyemak kegiatan penipuan kartel ayam serta integrator ini dengan satu sumber penternak wilayah selatan Semenanjung yang mendedahkan, kartel dan integrator menipu sebab cas tambahan kos bakul serta upah tangkap ayam sebenarnya ditanggung oleh penternak kontrak dan bukannya integrator.
“Malah, kos pengangkutan pun sebenarnya ditanggung oleh penternak kontrak dan bukannya kartel atau integrator. Makan minum pemandu lori pun penternak kontrak yang tanggung.
“Sama juga macam kos dedak dan vaksin, yang tanggung adalah penternak kontrak, tak ada satu pun yang ditanggung oleh integrator atau kartel, semua kami yang tanggung,” katanya.
Justeru, sumber mempersoalkan sikap kerajaan yang mengabaikan desakan pertubuhan pengguna serta penternak kontrak agar ditubuhkan lembaga unggas bagi menyelesaikan permasalah sektor peternakan khususnya ayam dan telur yang sekian lama dibelenggu cengkaman kartel.
“Kerajaan sudah tahu bahawa harga anak ayam dan harga dedak langsung tidak dikawal. Sedangkan dua perkara inilah yang menjadi punca kenaikan harga ayam mentah di pasaran.
“Kalau sudah tahu bahawa dengan semua kementerian yang ada sekarang ini pun, kerajaan masih tak dapat kawal dua faktor utama yang meningkatkan kos operasi ladang (anak ayam dan dedak), maka sudah pastilah ada yang tidak kena dengan sistem kawal selia sedia ada.
“Sebab itulah, kerajaan wajib menubuhkan lembaga khas mengawal sektor ayam dan telur, industri ini terlalu besar untuk diselia cuma oleh sebuah jabatan iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” kata sumber. – UTUSAN











