Tuah anak Tiara Jacquelina, kami tidak campur aduk kerja, keluarga - Mila Mohsin - Utusan Malaysia

Tuah anak Tiara Jacquelina, kami tidak campur aduk kerja, keluarga – Mila Mohsin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun bergelar anak kepada pelakon dan pengarah tersohor, Puan Seri Tiara Jacquelina, Hani Karmila Hani Mohsin, 29, atau lebih dikenali sebagai Mila Mohsin tidak menganggap status itu sebagai kelebihan untuk menjayakan watak Gusti Puteri dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical.

Sebaliknya, Mila memilih untuk membina interpretasi wataknya sendiri menerusi persediaan dan latihan, tanpa bergantung sepenuhnya kepada pengalaman ibunya yang pernah menghidupkan watak sama dalam pementasan terdahulu.

Malah, pelakon itu mengakui dia tidak menerima panduan istimewa secara terperinci daripada Tiara, sebaliknya diberikan kepercayaan untuk meneroka watak berkenaan mengikut pendekatannya sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sangat bertuah kerana dia mempercayai saya sebagai pelakon. Jadi, dia memberikan kepercayaan kepada saya. Katanya,saya cuma perlu mencuba dan melakukannya. Kalau tak kena, dia akan beritahu. Tapi kena cuba dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mila, hubungan mereka sebagai ibu dan anak tidak dicampur adukkan dengan urusan kerja, memandangkan masing-masing memahami tanggungjawab serta peranan yang perlu dimainkan dalam menjayakan pementasan berkenaan.

“Orang mungkin agak terkejut apabila mengetahui bahawa kami cuba memisahkan kedua-dua perkara itu. Kami mengasingkan urusan kerja dan keluarga. Kerja ialah kerja. Bagi saya, kerja ialah kerja dan keluarga ialah keluarga.

“Jadi, saya tak suka mencampur adukkan kedua-duanya. Kalau kami nak berjumpa untuk makan malam, menyambut hari lahir atau apa-apa sahaja, saya langsung tak nak berbincang tentang kerja,” katanya.

Mengulas proses membawakan watak Gusti Puteri, Mila berkata cabaran utamanya adalah untuk melepaskan keterikatan terhadap versi terdahulu, sekali gus memberi ruang kepada dirinya membentuk penghayatan yang lebih bersesuaian dengan pementasan kali ini.

Katanya, walaupun sudah mengenali watak itu sejak kecil, pengalaman tersebut tidak semestinya memudahkan segala-galanya kerana dia perlu mengelakkan kecenderungan untuk mengulangi gerak-geri dan pendekatan lakonan yang pernah dipersembahkan sebelum ini.

“Tapi, pada masa yang sama, susah nak melepaskan versi yang itu juga. Sedangkan, mungkin Puteri dalam keadaan tertentu tak akan berfikir macam ini, atau tak akan bergerak macam ini. Jadi, kita mungkin dah terikat dengan pergerakan pentas yang lama.

“Jadi, bagi saya, penting untuk melepaskan semua itu. Kita lepaskan, kita berterima kasih dan ucap selamat tinggal. Kemudian, barulah kita boleh masuk ke dalamnya. Pun begitu, jiwa itu mesti sama. 

“Bagi saya, perkara yang paling penting ialah benar-benar memahami semangatnya dan isi hatinya yang sebenar,” katanya.

Mila turut melihat Gusti Puteri sebagai wanita yang mempunyai pendirian teguh dan berani memperjuangkan kebebasan, sekali gus menjadikan watak itu lebih besar daripada persoalan cinta semata-mata.

“Gusti Puteri ialah seorang feminis yang sangat kuat. Saya percaya dia sebenarnya seorang pejuang dan dia berjuang demi kebebasan,” katanya.

Dalam memastikan penghayatan watak itu lebih meyakinkan, Mila turut melakukan persediaan sendiri dengan memberikan perhatian kepada loghat, pergerakan dan perincian kecil yang membentuk identiti Gusti Puteri.

Katanya, Tiara tidak semestinya menyampaikan segala panduan melalui kata-kata, sebaliknya lebih banyak menunjukkan contoh untuk diperhatikan dan dihayati sepanjang proses latihan.

“Dia tak memberitahu saya melalui kata-katanya, sebaliknya dia hanya menunjukkan contoh. Dia akan memimpin melalui teladan dan saya hanya akan menyerapnya. Saya hanya perlu merasainya sendiri. 

“Sebab terdapat begitu banyak perincian kecil dalam watak  itu sendiri. Tugas saya adalah bagaimana menggalinya lebih dalam untuk menzahirkannya biar sampai kepada penonton,”katanya.

Mila bakal berkongsi watak Gusti Puteri bersama Aisha Retno dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL)  yang dijadualkan berlangsung dari 31 Oktober hingga 15 November ini.

PGL kali ini melakar lembaran baharu apabila bakal dipentaskan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) Sunway Square yang diakui Tiara sebagai dewan teater paling canggih di Malaysia dengan kemudahan teknologi terkini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini