Faezah Elai terima ‘lamaran’ Mawar Cotton - Utusan Malaysia

Faezah Elai terima ‘lamaran’ Mawar Cotton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penerbit dan pelakon, Faezah Elai,meluahkan rasa terharu memandangkan di usia 40 tahun, dia masih diberi kepercayaan untuk menyandang gelaran duta atau wajah kempen jenama tempatan.

Terbaharu, menerusi kolaborasi bersama Mawar Cotton, Faezah diberi ‘tugas’ untuk menjadi wajah kempen baju kurung koleksi raya Aidiladha Hajeera Edition daripada jenama tersebut.

“Saya anggap ini rezeki terindah. Jujur hingga saat ini saya rasa macam masih bermimpi dengan tanggungjawab dan amanah diberikan selama sebulan untuk kempen raya haji ini.

“Rezeki ini juga sebenarnya membuka kisah lama apabila pihak mereka berpuas hati apabila ulasan dan promosi baju kurung dibuat di Instagram (IG) tiga atau empat tahun lalu membuatkan tak menang tangan dan laku keras.

“Saya pun sudah tak ingat dengan kisah berkenaan. Tapi syukur, di sebalik ada yang menganggap saya ‘sendu’ , ada jenama yang berani memilih saya.Kata mereka, koleksi Hajeera Edition khususnya kena dengan personaliti saya,” katanya.

Menurut ibu kepada Luqman Haqeem, Sarah Heyrissa, Luq Adam Heydhani, Dealova
Heyrinna dan Aurora Heyricca ini, secara peribadi dia turut menyenangi rekaan baju kurung jenama terbabit.

“Pendek kata, rekaannya sesuai dengan gaya dan cita rasa saya. Rekaannya juga berbeza dan tak polos. Motif yang direka dan dihasilkan bagai memberi nyawa kepada baju kurung jenama itu,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kerjayanya, biarpun telah 17 tahun menceburi bidang seni, pelakon kelahiran Pulau Pinang ini bagaimanapun mengakui pembabitan seninya tidak seaktif dulu.

“Lagipun status saya sebagai ibu khususnya memerlukan saya memberi perhatian rapi kepada anak. Saya tidak pernah menyesali keadaan ini. Ikutkan tawaran berlakon drama dan filem tak pernah putus sampai saat ini.

“Cuma saya terpaksa tolak secara baik, kerana tak mahu menyusahkan produksi. Senang cerita, saya memang banyak berlakon di bawah arahan suami sendiri.

“Kalau ada tawaran pengarah dan produksi lain, jika kena dengan watak dan waktu, Insya-Allah saya boleh pertimbangkan terutama kalau cuti sekolah,”katanya.

Sementara itu, pengasas Mawar Cotton, Nik Hetty Eliya Nik Ab Rahman berkata, pemilihan artis berstatus ibu kepada lima cahaya mata itu didorong dengan alasan yang konkrit dan bertepatan dengan sasaran pelanggan mereka.

“Awalnya kami pernah menggunakan khidmat Faezah ketika mempromosikan koleksi terdahulu yang kami keluarkan beberapa tahun lalu. Percaturan kami mengena apabila ulasan dan promosi dilakukannya mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan penggemar jenama kami.

“Lagipun koleksi Hajeera Edition kali ini bertepatan dengan gaya dan caranya yang menawan menggayakan kurung bercetak. Justeru, kami yakin boleh mengubah dia menjadi anggun dan lebih menyerlah dengan koleksi kami keluarkan,”katanya.

Selain memilih Faezah untuk melonjakkan pengaruh jenama ini, Nik Hetty Eliya berkata, pihaknya akan terus melancarkan pelbagai strategi pemasaran dalam melonjakkan nama jenama syarikat yang berdaftar di bawah Mawar Cotton Empire Sdn Bhd ini.

“Kami tidak akan betah duduk diam. Sebaliknya akan terus mengeluarkan inovasi rekaan cetakan yang outstanding khas untuk baju kurung kami yang lain dari yang lain di pasaran.Insya-Allah kami sasarkan jualan sasaran setahun dalam RM10 juta,”katanya.

Tambah Nik Hetty Alia lagi, satu daripada rekaan koleksi Hajeera Edition yang dicetak iaitu Cahaya Palestina juga akan disumbangkan ke badan amal terpilih.

“Setiap RM1 dari hasil jualan baju rekaan Cahaya Palestina akan disumbangkan ke badan amal terpilih untuk saudara Islam di Palestin,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN