TEL AVIV: Tentera Israel mendakwa menemukan dan memusnahkan rangkaian terowong besar milik Hizbullah yang digunakan oleh pasukan elit kumpulan itu di selatan Lubnan, berhampiran sempadan utara Israel.
Israel bertempur dengan Hizbullah sejak awal Mac, dengan menghantar tentera ke selatan Lubnan untuk memerangi kumpulan yang disokong Iran itu selepas melancarkan roket ke wilayahnya, manakala keganasan masih berterusan meskipun gencatan senjata rapun berkuat kuasa pada 17 April lalu.
Menurut kenyataan tentera pada Selasa, pasukannya menemukan dua terowong Hizbullah yang dibina selama kira-kira sedekad dan sepanjang kira-kira dua kilometer di bawah tanah serta bersambung dengan kedudukan tembakan yang menghala ke Israel.
Terletak di kawasan Qantara, tentera menggunakan lebih 450 tan bahan letupan untuk memusnahkannya, kata kenyataan itu.
Sumber tentera Israel menyifatkannya sebagai ‘kemudahan ketenteraan bawah tanah yang besar’, terdiri daripada sebuah terowong sepanjang 800 meter dan satu lagi 1.2 kilometer, yang digunakan sebagai ‘kawasan perhimpunan’ bagi pasukan elit Radwan Hizbullah.
Katanya, kemudahan itu direka, ditaja dan dibiayai oleh Iran dengan tujuan untuk melancarkan serbuan ke atas komuniti Israel di sepanjang sempadan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tentera akan terus menyasarkan infrastruktur Hizbullah.
“Hari ini kami meletupkan sebuah terowong pengganas Hizbullah yang besar. Kami sedang memusnahkan infrastruktur pengganas mereka, kami membunuh berpuluh-puluh pengganas mereka dan kami masih belum selesai,” katanya dalam video yang dirakam lebih awal.
Sementara itu, tentera Lubnan pada Selasa memaklumkan dua anggotanya cedera dalam serangan udara bersasar oleh Israel ketika sedang menjalankan operasi menyelamat di selatan Lubnan.
Kenyataan itu merupakan kali pertama tentera Lubnan memaklumkan anggotanya menjadi sasaran sejak gencatan senjata bermula.- AFP










