El Nino boleh jejaskan tabiat makan haiwan

El Nino boleh jejaskan tabiat makan haiwan

Fenomena El Nino dikatakan boleh menjejaskan tabiat makan haiwan ternakan sehingga mengurangkan berat badan haiwan berkenaan pada waktu tuaian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Fenomena El Nino dipercayai menyebabkan haiwan peliharaan kurang minum dan memakan dedak sehingga menyebabkan berat badan optimum tidak dapat dicapai pada waktu tuaian sekali gus mengakibatkan golongan penternak kerugian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Prof. Dr. Anjas Asmara Samsudin dari Jabatan Sains Haiwan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, keadaan itu boleh berlaku memandangkan ternakan kebiasaannya cenderung minum air lebih banyak bagi mengurangkan kesan haba.

“Ini menyebabkan kerugian pada penternak. Bagi sektor ternakan ruminan pula sama ada industri daging juga tenusu, kesan langsung El Nino dapat dilihat melalui berat badan dan penghasilan susu yang menyusut disebabkan kadar pengambilan air yang terlalu banyak bagi menghilangkan dahaga dan mengawal suhu dalaman badan ternakan.

“Industri komoditi utama negara pula, dapat dilihat bahawa penghasilan kelapa sawit menurun sebanyak 15 peratus ketika musim panas berpanjangan melanda,” katanya ketika dihubu­ngi, di sini semalam.

Dr Anjas berkata demikian bagi mengulas kenyataan pakar bidang Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Juliana Jalaludin berhubung fenomena El Nini di Malaysia yang disiarkan Utusan Malaysia semalam.

Menurut beliau, di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia, El Nino lazimnya lebih ketara semasa musim monsun barat daya yang kering berpanjangan dan ketika itu suhu harian boleh melebihi 35 darjah Celcius.

Bahkan, katanya, cuaca panas berpanjang ini juga boleh menjejaskan hormon tanaman yang boleh menjejaskan pertumbuhan.

Selain itu, Dr Anjas berkata, tanaman yang menggunakan sumber air yang banyak se­perti tanaman padi juga antara sektor yang terkesan sekiranya fenome­na ini terjadi.

“Mengikut kajian dari Pusat Kajian Padi Antarabangsa yang berpusat di Filipina, pengeluaran padi terjejas sebanyak 10% sekiranya suhu meningkat sebanyak 1 darjah Celcius.

“Suhu optimum pengeluaran padi adalah sekitar 24-34 darjah Celcius.

“Dari sudut industri ternakan pula, kesan langsung yang dapat dilihat adalah dari penurunan produksi ternakan itu sendiri. Sebagai contoh, ternakan ayam yang dibela dalam sistem reban terbuka adalah terdedah kepada strok haba disebabkan feno­mena ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau ya­kin kerajaan telah mengambil banyak langkah kawalan memandangkan isu fenomena El Nino ini bukan pertama kali melanda negara.

Katanya, antara usaha yang dapar dilihat adalah dengan menambah bilangan kawasan tadahan air bagi aktiviti irigasi sawah padi.

“Selain itu juga, melalui amalan pertanian menggunapakai teknologi seperti system hidrofonik turut dapat membantu mengurangkan penggunaan air sebanyak 90% berbanding tanaman sayur secara konvensional.

“Penggunaan reban tertutup bagi industri ternakan ayam turut membantu menstabilkan pengeluaran ayam negara memandangkan sistem reban tertutup ini mempunyai sistem kawalan persekitaran yang kondusif bagi ternakan ayam,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×