Cuma 25 peratus rumah mampu milik dilancar suku pertama 2023

PARLIMEN: Cuma 25 peratus rumah mampu milik dilancar suku pertama 2023

HANYA 1,193 unit atau 25.6 peratus daripada 4,661 unit rumah baharu yang dilancarkan bagi suku pertama tahun ini bernilai sekitar bawah RM300,000. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya 1,193 unit atau 25.6 peratus daripada 4,661 unit rumah baharu yang dilancarkan bagi suku pertama tahun ini bernilai sekitar bawah RM300,000. 

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan, 1,482 unit atau 31.8 peratus unit rumah baharu bernilai sekitar RM300,001 hingga RM500,000; RM500,001 hingga RM1 juta melibatkan 1,663 unit (35.7 peratus) dan unit rumah bernilai atas RM1 juta meliputi 323 unit (6.9 peratus). 

Pada masa sama, katanya, 1,193 unit atau 25.6 peratus daripada jumlah itu pula bernilai bawah RM300,000.

“Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), bagi suku pertama tahun 2023, bilangan unit rumah baharu dilancar adalah berjumlah 4,661 unit. Daripada jumlah tersebut, 3,985 unit atau 85.5 peratus adalah rumah jenis bertanah (landed) dan 676 unit atau 14.5 peratus adalah rumah jenis bertingkat (high rise).

“Tiga negeri dengan jumlah unit rumah baharu dilancar tertinggi pada suku pertama 2023 adalah Johor, Selangor dan Pahang iaitu masing-masing 2,077 unit, 791 unit dan 700 unit rumah,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, semalam. 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) yang bertanyakan berapa bilangan keseluruhan unit hartanah (perumahan) di seluruh Malaysia pada tahun 2023 mengikut perincian harta tanah dan strata.

Untuk rekod, nilai maksimum rumah mampu milik secara dasarnya adalah berjumlah RM300,000. 

Mengulas lanjut, Kor Ming memaklumkan, terdapat 9.6 juta unit kediaman di Malaysia berdasarkan Laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020. 

“Ini menunjukkan peningkatan berbanding 7.3 juta unit kediaman seperti dilaporkan dalam Banci Penduduk Dan Perumahan Malaysia 2010,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN