ALOR SETAR: Seorang wanita tidak menyangka ciuman yang diberikan suami sebelum keluar ke laut untuk memukat udang adalah yang terakhir apabila lelaki itu ditemukan lemas dalam kejadian ribut di Kuala Sala, Kuala Kedah semalam.
Menurut Norafisah Mohd. Yaffar, 42, Allahyarham Mohd. Farizan Tajuddin, 41, turun ke laut kira-kira pukul 3.30 pagi bersama abangnya, Mohd. Faudzi, 48, yang turut meninggal dunia dalam kejadian itu.
“Selalu apabila ke laut, arwah cuma salam dengan saya sahaja tetapi semalam dia cium kedua-dua belah pipi saya dan peluk lama. Saya jadi pelik dan hati mula terdetik sesuatu.
“Luluh jantung saya apabila dapat berita arwah dan abang ipar hilang ke laut. Kami sekeluarga reda,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.
Menurut suri rumah itu, suaminya baru berjinak-jinak dalam bidang itu sejak tiga bulan lepas membantu dua abangnya iaitu Mohd. Faudzi dan Abu Bakar, 45, yang terselamat dalam kejadian tersebut.
“Dulu kami berniaga di Bukit Mertajam tetapi berhenti dan sementara itu suami tolong abang-abangnya ke laut tangkap udang. Sebelum meninggal arwah pernah cakap dia penat dan nak tidur lama-lama, sekarang saya faham kata-katanya,” katanya.
Bercerita tentang kejadian itu, kata Jamilah, ketiga-tiga mereka sering ke laut pada awal pagi untuk memukat kerana pendaratan udang dikatakan banyak ketika itu. Sehari sebelum kejadian mereka dapat hasil jualan sehingga RM300.
“Ketika kejadian, Abu Bakar bercerita ribut datang secara tiba-tiba tak sempat berpatah balik sebelum perahu terbalik,” katanya.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak, mayat kedua-dua beradik itu ditemukan di kawasan paya bakau dekat Kuala Kangkong. – utusan










