Najib bakal jalani tahanan di rumah sendirian di Langgak Duta - Utusan Malaysia

Najib bakal jalani tahanan di rumah sendirian di Langgak Duta

HASNAL Rezua Merican ditemui Utusan Malaysia di Pejabat UMNO Bahagian Selayang, Selangor semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menjalani baki hukuman penjara di kediaman­nya di Langgak Duta di sini, se­ca­ra ber­sendirian dengan ka­walan ke­tat Jabatan Penjara, termasuk la­watan keluarga yang dihadkan.

Peguam Datuk Hasnal ­Rezua Merican berkata, pemilihan lo­ka­si itu ekoran tiada ahli ke­luar­ga yang menetap di situ, maka lo­kasi berkenaan boleh dijadikan penjara, selain mengikut kri­teria ditetapkan Ketua Penga­rah Penjara.

Katanya, tahanan rumah tidak bermakna Najib bebas menjalani kehidupan seperti biasa kerana premis tersebut berfungsi sebagai tempat menjalani hukuman penjara, tertakluk kepada syarat dan kawalan yang ditetapkan.

Katanya, lawatan keluarga boleh ditetapkan pada hari dan tempoh tertentu manakala akses peguam dijangka lebih fleksibel bagi membolehkan urusan guaman dijalankan, termasuk kemungkinan lawatan lebih daripada sekali seminggu.

“Difahamkan, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anaknya tinggal di kediaman masing-masing. Jadi rumah di Langgak Duta itu memang kosong dan menjadi lokasi terbaik untuk men­jalani baki hukuman.

“Dalam masa sama, terdapat syarat yang Najib perlu patuhi selama menjalani tempoh berbaki sehingga 2028 secara bersendirian dan bukan bersama keluarga.

“Lawatan keluarga akan dihadkan sebagaimana peraturan penjara, manakala peguam boleh datang lebih daripada sekali, malah jika ada keperluan, boleh datang setiap hari bagi membincangkan kes-kes berkaitan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Jumaat lalu, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersidang di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat memperkenankan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat ditetapkan.

Hasnal Rezua berkata, tahanan rumah bukan merupakan kes pertama di negara ini, sebaliknya pernah berlaku terhadap cucu kepada Tun H.S. Lee yang disabitkan atas kes kematian seorang wanita (Linda Lee Good Yew) pada 2000.

Kenneth Lee Fook Mun ketika itu diberi perintah pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menjalani baki hukuman di rumah atas alasan tiada orang lain untuk menjaga bapanya yang sakit.

Hasnal Rezua berkata, aspek pemakanan juga dikelolakan di bawah pengawasan Jabatan Penjara manakala kawalan terhadap penggunaan telefon, komputer riba dan peranti elektronik lain boleh dihadkan atau dilarang bagi memastikan tahanan tidak mempunyai kebebasan komunikasi seperti orang awam.

Katanya, akses kepada media sosial juga tidak dibenarkan, namun bergantung kepada syarat rasmi yang ditetapkan bagi pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.

“Kalau di penjara, penggunaan teknologi memang tertakluk kepada kawalan. Ada perkara yang dibenarkan secara terhad dan terkawal.

“Prinsip yang sama boleh digunakan dalam tahanan rumah, termasuk kawalan terhadap peranti, komunikasi dan akses kepada teknologi,” katanya.

Hasnal Rezua yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang berkata, kegagalan menjelaskan denda RM50 juta bermakna Najib akan kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang.

“Saya memahami perintah Lembaga Pengampunan itu, Najib dibenarkan menjalani tahanan rumah tertakluk kepada bayaran RM50 juta dan perlu memenuhi prasyarat tersebut.

“Kalau tidak bayar, bermakna beliau tidak mendapat tahanan rumah itu. Kalau tidak selesai, beliau kekal di Penjara Kajang,” katanya.

Katanya, pasukan peguam Najib kini dalam usaha mendapatkan pelepasan sebahagian aset yang masih dalam proses atau kawalan pihak berkuasa, di samping mendapat kutipan dana awam.

“Usaha kutipan dana secara pendanaan awam (crowdfun­ding) berpotensi mendapat sokongan daripada rangkaian kenalan lama dan penyokong Najib, namun jumlah RM50 juta tetap merupakan nilai yang besar untuk dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai.

“Saya percaya memang ramai yang akan menyumbang, mungkin daripada kenalan dan rangkaian lama yang boleh menyumbang.

“Tetapi kalau kita hanya mengharapkan sumbangan, kita kena lihat sejauh mana jumlah itu boleh dikumpulkan,” katanya.
Beliau berkata, apa juga usaha mendapatkan dana perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Namun jika gagal, permohonan pelepasan aset boleh dibuat di mahkamah,” katanya.

Bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini masih dalam peringkat rayuan, katanya, Najib tetap perlu berdepan dengan hukuman yang akan ditentukan kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×