Cadangan tetapkan tempoh Parlimen 5 tahun ancam demokrasi

Cadangan tetapkan tempoh Parlimen 5 tahun ancam demokrasi

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Cadangan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya Parlimen wujud selama lima tahun selepas pilihan raya, disifatkan boleh mengancam sistem demokrasi negara dan prinsip semak imbang. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan dari Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, dalam pembentukan kerajaan, memanggil dan memprorog serta membubarkan Parlimen, ia mempunyai hubung kait dengan sistem pemerintahan yang berpaksi kepada kedaulatan raja-raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan dan sejarah perundangan negara.

Beliau menjelaskan, tempoh hayat Parlimen tidak boleh ditetapkan selama lima tahun atas beberapa sebab, antaranya prinsip dalam Perlembagaan bahawa Jemaah Menteri mestilah bertangungjawab kepada ahli Parlimen yang mewakili mandat rakyat serta dalam masa sama setia kepada raja dan negara.

Katanya, jika tempoh  Parlimen itu ditetapkan, ia boleh membuka ruang kepada Jemaah Menteri  bebas bertindak sesuka hati dalam tempoh tersebut tanpa terikat dengan prinsip kebertanggungjawaban yang dinyatakan. 

“Tempoh tetap itu juga akan menyukarkan  polisi dan pelaksanaan dasar eksekutif yang  bercanggah Perlembagaan disemak imbang sekali gus menghakis peranan institusi raja-raja sebagai pelindung Perlembagaan.  

“Kerajaan Persekutuan itu ialah syura melalui gandingan Yang di-Pertuan Agong dengan Jemaah Menteri, jika tempoh Parlimen ditetapkan dan Perdana Menteri tidak boleh bertukar dalam tempoh lima tahun walaupun tidak lagi mempunyai mandat majoriti,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai cadangan itu yang dibangkitkan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai langkah memastikan kerajaan terus stabil.

Mohamed Nazri menjelaskan cadangan itu dikemukakan bagi memastikan tidak berlaku lagi usaha menjatuhkan kerajaan seperti yang dilakukan sebelum ini sekali gus dapat mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat bahwa kerajaan yang ditubuhkan selepas pilihan raya adalah untuk tempoh lima tahun.

Menurut Wan Ahmad Fauzi, keadaan itu pastinya sukar bagi proses semak imbang dilaksanakan apabila terdapat polisi dan dasar eksekutif yang bercanggah Perlembagaan dan menindas rakyat.

Pada masa sama, keadaan itu boleh mengizinkan perdana menteri yang sudah hilang mandat untuk terus berkuasa, lantas sudah bersalahan dengan sistem demokrasi berperlembagaan di Malaysia.

“Perlembagaan sudah menggariskan prosedur yang baik iaitu selagi dia ada undi kepercayaan, dia akan kekal dan Agong tidak perlu campur tangan untuk membubarkan Parlimen.

“Tetapi kalau sudah hilang undi kepercayaan dari ahli dewan rakyat, sebagai sebuah negara yang menerima demokrasi terpimpin, demokrasi secara berperlembagaan, perdana menteri dan jemaah menterinya perlu  letak jawatan, justeru ada elemen akauntabiliti,” katanya.

Wan Ahmad Fauzi berkata, Perdana Menteri dan jemaah menterinya perlu bertanggungjawab kepada ahli Parlimen dan mereka tertakluk kepada Perlembagaan, mereka bukannya boleh membuat keputusan sesuka hati.

Oleh itu, katanya, jika ada cadangan sedemikian, ia akan memberi kesan jauh lebih buruk apabila rakyat tidak berpuas hati dengan polisi kerajaan, dan ia tidak mustahil boleh berlaku pemberontakan akibat kezaliman, korupsi dan sebagainya.  

Apa yang penting katanya, meningkatkan integriti dalam kalangan ahli Parlimen, itu yang perlu diutamakan berbanding menetapkan tempoh tetap hayat Parlimen, sebagai contoh, undang-undang anti lompat parti perlu diperkemaskan, hukuman terhadap mereka yang melanggar sumpah ahli Parlimen, anggota jemaah Menteri dan ahli badan kehakiman menurut Jadual Keenam Perlembagaan perlu digubal secara khusus.

“Selain itu, undang-undang pendanaan parti politik untuk membasmi salah guna kuasa, perlu digubal segera,” katanya.

Justeru, tegas beliau, penetapan tempoh tetap lima tahun hayat Parlimen bukanlah solusi yang selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik.

“Jadi saya tak lihat ada keperluan untuk mengenakan tempoh tetap. Jika itu berlaku maka ia boleh menghakis kuasa Agong untuk membubarkan Parlimen jika  Perdana Menteri sudah hilang kepercayaan, cadangan pindaan sedemikian  boleh menghalang budi bicara Agong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN