Cadang langkah segera selesaikan polemik isu kalimah Allah - Utusan Malaysia

Cadang langkah segera selesaikan polemik isu kalimah Allah

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Pusat perlu mencadangkan langkah-langkah praktikal yang tuntas bagi dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja dalam kadar segera untuk diperkenankan bagi menyelesaikan polemik berkaitan isu penggunaan kalimah Allah.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, isu penggunaan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan di dalam agama selain agama Islam sudah lama dipolemikkan oleh pelbagai pihak di negara ini.

Malah, ujar beliau, isu terbabit sehingga kini juga masih belum menemui jalan penyelesaian yang muktamad.

Menurut Wan Salim, keputusan fatwa sama ada di peringkat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) mahupun Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri telah dibuat iaitu melarang kalimah Allah digunakan untuk tuhan di dalam agama-agama selain Islam dengan alasan ia adalah hak ekslusif bagi agama dan umat Islam.

“Namun, nampaknya keputusan ini tidak diendahkan oleh pihak-pihak tertentu sehingga menyebabkan isu ini masih berlarutan dan belum lagi menemui noktahnya sehingga ke saat ini.

”Memang kegusaran Tuanku Yang di-Pertuan Agong ada kewajarannya memandangkan isu ini adalah amat serius dan mampu menggugat keamanan negara dan menegangkan hubungan antara sesama rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berasa gusar dengan isu penggunaan kalimah Allah kerana jika perkara itu gagal diselesaikan segera, ia bakal menjadi polemik berlarutan sehingga boleh menjejaskan perpaduan nasional dan kesejahteraan negara.

Seri Paduka Baginda bertitah, polemik penggunaan kalimah Allah bukan merupakan pendekatan terminologi dan linguistik, sebaliknya berhubung isu akidah umat Islam dan sebarang kekeliruan akan hanya mengundang musibah.

Tambah Wan Salim, antara langkah-langkah penyelesaian yang perlu dilakukan adalah kerajaan perlu memohon perkenan Majlis Raja-Raja untuk Raja-Raja mengadakan satu sesi penjelasan kepada semua ketua-ketua agama di Malaysia tentang keunikan situasi di negara ini yang mana kalimah Allah tidak wajar dikongsi kegunaannya bagi tuhan di dalam agama-agama selain Islam.

”Duli-Duli Tuanku boleh memberi titah nasihat kepada ketua-ketua agama supaya sudi bekerjasama dalam menyelesaikan kemelut ini.

”Ia demi mengelak berlakunya konfik perkauman yang akan merugikan serta menyusahkan semua pihak di negara ini. Kadangkala kita perlu mengenepikan kepentingan yang kecil untuk menghindari kemudaratan yang lebih parah,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Sabah dan Sarawak adalah dikecualikan daripada perkara itu disebabkan suasana dan latar belakang sejarah kedua-dua negeri tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya