PETALING JAYA: Vokalis kumpulan Damasutra, Baggio mendedahkan beberapa kali menolak tawaran untuk menyertai pertandingan realiti kerana enggan mempamerkan kelemahannya sebagai penyanyi.
Jelasnya, dia lebih senang untuk memilih jalan selamat dan mahu menjalani kehidupan tenang tanpa berdepan kecaman atau persepsi negatif segelintir warganet yang boleh memburukkan nama Damasutra.
“Sejujurnya, banyak kali juga saya ditawarkan untuk menyertai pelbagai program realiti, terutama untuk ‘artis- artis lama’. Tetapi saya rasa mungkin program itu tidak sesuai dengan saya.
“Saya tiada masa dan merasakan tidak layak untuk bertanding dalam program-program sebegitu kerana semua itu hadir dengan risiko yang boleh menelanjangkan kelemahan saya sendiri.
Lebih baik saya pilih jalan selamat untuk kekal relevan. Bukan takut dengan kecaman, cuma saya percaya dengan karya Damasutra dan lebih senang hidup tenang tanpa sebarang publisiti murahan,” ujarnya.
Tambah Baggio lagi, buat masa sekarang, dia lebih memfokuskan pemantapan karier bersama Damasutra sementelah mereka bakal beraksi dalam konsert Konsert Anniversari ke-33 Damasutra ‘The Journey’ Oktober depan.
Malah jelas penyanyi Umpama Mimpi Dalam Mimpi itu lagi, dia juga percaya kualiti sesebuah karya yang baik mampu meletakkan artis atau kumpulan di tahap yang berbeza walaupun sudah berusia.
“Kalau dari segi nyanyian, Alhamdulillah permintaan itu masih ada.Sama juga apabila saya menghasilkan single baharu secara solo.
“Walaupun mungkin ada ketika saya tidak aktif bersama Damasutra, namun sebenarnya saya sentiasa berkarya dan memenuhi persembahan di majlis-majlis tertutup atau korporat.
“Apabila Damasutra kembali aktif selepas rehat panjang, misi saya lebih rancak tambahan pula, ada konsert yang bakal berlangsung Oktober depan,” ujarnya.
Konsert Anniversari ke-33 Damasutra ‘The Journey’ yang turut menampilkan anggota lain Damasutra bakal berlangsung di Zepp KL pada 27 Oktober nanti.
Tiket pada harga RM188 (Rock Zone), RM258 (Silver) RM350 (Gold) dan RM3,000 (VIP Box) kini dijual menerusi dibeli menerusi laman www.ubertickets.my