KUALA LUMPUR: Pas Selangor menafikan yang pihaknya menolak cadangan nama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon poster boy.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, dalam masa yang sama, pihaknya juga tidak menetapkan yang Mohamed Azmin adalah wajah yang akan ditampilkan sebagai calon Menteri Besar kerana perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat PN Selangor.
Tambahnya, jawatan itu terbuka untuk semua yang layak dan bukan hanya Mohamed Azmin sahaja calon yang sesuai untuk jawatan berkenaan.
“Tidak ada isu Pas tolak Azmin, sebab perkara itu tidak pernah berbangkit dalam mesyuarat. Lagipun, bukan Azmin sahaja yang layak. Banyak lagi calon lain yang layak untuk menjadi poster boy.
“Pada kami, itu hak Tuanku. Kalau kita ulangi sejarah lama dengan menamakan poster boy, ia seolah-olah kami tidak hormat pada Tuanku,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar semalam tentang Pas Selangor yang dikatakan tidak menerima Mohamed Azmin sebagai calon poster boy.
Seorang pegawai kanan Mohamed Azmin ketika dihubungi berkata, cadangan nama itu hanya akan merencatkan kemenangan PN di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti berikutan rekod pemimpin tersebut akan menjadi kelemahan PN dan senjata pihak lawan.
Mengulas lanjut, Roslan berkata, Pas juga tidak mahu mengulangi kesilapan PKR yang pernah menamakan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar sewaktu Langkah Kajang.
“Takkan nak kita ulang kesilapan PKR yang menamakan Wan Azizah sebagai Menteri Besar, akhirnya istana tidak perkenan? Kita kenal Tuanku dan Selangor ini di bawah undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor di mana hak memilih seorang Menteri Besar adalah hak Tuanku.
“Ini bukan isu Pas tolak Azmin, tetapi kita nak elak salah faham yang boleh berlaku, seolah-olah kita memaksa Tuanku untuk memilih calon menteri Besar yang sudah kita kemukakan,” ujarnya lagi.
Ditanya pula mengenai adakah Pas akan menuntut jawatan Menteri Besar sekiranya memperoleh jumlah kerusi yang lebih dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Roslan berkata, ia idak akan berlaku kerana semua perkara akan dipersetujui bersama dalam perundingan yang dijalankan.
“Dalam kerjasama politik ini, kita perlu ada permuafakatan, Pas sudah lalui bermacam-macam kerjasama politik termasuk dalam Pakatan Rakyat. Pernah suatu ketika dulu, Pas mendapat kerusi lebih dari PKR tetapi kita tidak menuntut jawatan Menteri Besar dan sebaliknya kita serahkan kepada PKR ketika itu.
Begitu juga dengan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dilantik menjadi Menteri Besar dalam keadaan jumlah kerusi Pas lebih sedikit daripada gabungan parti yang lain. Jadi dalam hal ini, kita kerjasama atas semangat muafakat, tidak semestinya dapat lebih, perlu menjadi Menteri Besar,” ujarnya lagi. – UTUSAN










