KELINCAHAN dan keterujaan penyanyi rap, Bunga Isme setiap kali membuat persembahan mengundang rasa kurang senang segelintir penonton yang merasakan dia terlalu lincah sebagai wanita berimej bertudung.
Ramai yang berpandangan perilaku yang ditunjukkan gadis berasal dari Perak itu yang menari dan melompat-lompat atas pentas tidak bersesuaian dengan penampilannya yang berhijab dan menutup aurat.
Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari, 23, bagaimanapun menerima semua teguran yang dilayangkan dengan hati terbuka.
Katanya, dia sedar bukan semua orang senang dan dapat menerima cara dan gaya persembahannya yang berlainan dan jarang dilihat dalam dunia nyanyian tempatan.
“Saya pernah ditegur kerana terlalu seronok sampai melompat-lompat ketika membuat persembahan atas pentas.
“Pada saya perkara itu tidaklah salah kerana bukannya saya bergelek depan orang. Tapi masyarakat tetap tak dapat terima cara persembahan itu.
“Bila mereka tegur, saya terima. Kadang saya rasa diri saya terlalu ‘sempoi’ kerana membenarkan banyak perkara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bunga bagaimanapun mengakui tidak boleh bertoleransi dengan teguran kasar yang disulami kecaman dan herdikan melampau.
Katanya berbeza berbanding dahulu, dia kini lebih bersedia untuk berdepan kecaman yang adakalanya terlalu tajam mengguris perasaan.
“Kadangkala, cara netizen menegur di media sosial agak kasar. Bukan semua dapat terima cara teguran begitu.
“Mungkin dahulu sukar untuk saya berdepan komen negatif dan pandangan stereotaip masyarakat terhadap penyanyi rap tempatan. Sekarang saya lebih sedia berdepan kecaman.
“Disebabkan itu saya tak baca dan hadkan masa untuk membaca komen lebih-lebih lagi yang negatif di media sosial,” ujarnya.
Jelas Bunga lagi, dia bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga dan sahabat handai yang banyak menegur dan memberi nasihat sekiranya dia tersilap langkah.
“Saya tahu apa yang saya buat, ada keluarga dan rakan-rakan yang selalu tegur dan beri nasihat.
“Mungkin saya banyak kekurangan dari segi perilaku atau persembahan. Jadi orang terpanggil untuk bercakap tentang perkara itu.
“Apa pun saya amat berterima kasih atas semua teguran. Cuma saya akan utamakan nasihat dari keluarga dan kenalan saya,” sambungnya.
Album sulung
Impian graduan Diploma Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi Mara ini untuk memiliki album penuh bakal terlaksana tidak lama lagi.
Kongsi Bunga, album sulungnya itu akan diterbitkan sekitar tahun ini.
“Alhamdulillah, album tersebut hampir siap. Ia mengandungi lapan lagu, rakaman terakhir sedang berjalan.
“Album itu akan turut memuatkan lagu-lagu lama saya seperti Intan Payung, Belai dan 300 saat,” katanya.
Dalam masa yang sama, Bunga menyifatkan album tersebut bersifat personal dan istimewa yang simbolik tentang dirinya.
“Lagu-lagu baru yang dimuatkan nanti kebanyakannya lagu-lagu solo yang dicipta ramai penerbit dan penulis lirik.
“Insya-Allah tahun ini juga akan bertemu peminat,” jelasnya.










