Bekas pemandu e-hailing insaf diperdaya angkut PATI

Bekas pemandu e-hailing insaf diperdaya angkut PATI

AMIR tidak dapat menahan rasa sedih ketika memeluk isteri dan anak-anaknya dalam program Advokasi Keluarga Peringkat Penghuni di Penjara Pokok Sena di Pokok Sena, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: “Saya jalani hukuman ini dengan penuh insaf, walaupun apa yang berlaku di luar jangkaan saya.”

Demikian luar Amir, 42, banduan yang kini menjalani hukuman penjara dua tahun setelah didapati bersalah kerana mengangkut imigran yang diseludup dalam kejadian pada 9 Mac tahun lepas.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, ketika kejadian dia yang juga merupakan pemandu e-hailing menerima tempahan untuk membawa 10 lelaki warga Myanmar dari Bukit Kayu Hitam ke Pulau Pinang.

“Saya menerima tempahan di luar aplikasi daripada seorang lelaki yang tidak dikenali dengan upah RM700. Awalnya saya sudah tanya adakah mereka semua ini masuk ke Malaysia secara sah? Lelaki itu mengiakan dan saya tak banyak soal lagi kerana ini adalah rezeki saya.

“Salah saya tidak memeriksa mereka dahulu yang rupa-rupanya pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba diseludup ke sini. Akhirnya saya kena tangkap tak jauh dari lokasi mengambil mereka di Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Amir adalah salah seorang daripada enam banduan yang terpilih menyertai program Advokasi Keluarga Peringkat Penghuni di Penjara Pokok Sena, di sini.

Lelaki itu sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom 2007).

Bercerita lanjut, kata lelaki berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang ini, menjalani hukuman di atas kesalahan itu sangat menginsafkan terutama apabila terpaksa berpisah dengan anak-anak yang berusia 14 tahun hingga 7 tahun.

“Anak-anak saya yang masih bersekolah terkesan dengan musibah ini apabila pelajaran mereka terganggu setelah saya ditangkap dahulu. Tetapi sekarang mereka semakin baik, Alhamdulillah,” katanya yang akan bebas pada 19 Ogos ini.

Amir turut menasihatkan pemandu e-hailing lain supaya menjauhkan diri mereka daripada mengambil tempahan di luar aplikasi yang berkemungkinan terjerat dengan musibah sepertinya.

“Jauhilah, kerana takut nanti terjerat juga. Memang upah lumayan tetapi tak berbaloi dan bukan mudah apabila bergelar banduan.

“Saya pun tak akan terjebak dalam industri e-hailing ini lagi nanti. Saya akan cari kerja lain demi masa depan anak-anak,” katanya yang diziarahi oleh isteri berusia 36 tahun dan tiga anak mereka.

Kata Amir, dia bernasib baik kerana masih mendapat sokongan daripada keluarga di sebalik terpaksa menjalani hukuman di tabir besi.

“Alhamdulillah, hubungan kami masih kukuh dan merekalah yang menjadi semangat saya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Penjara Negeri Kedah, Abdul Kadir Jailani Ismail, program seumpama itu diadakan untuk mengerat ukhuwah antara banduan dan keluarga mereka.

“Program ini mendapat sambutan anggota keluarga masing-masing kerana ada yang sanggup datang dari Pulau Pinang. Maka, kita akan terus mengadakan program seumpama ini supaya orang di luar sana faham dan tahu bagaimana kehidupan banduan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN