PETALING JAYA: Seorang bekas pemain profesional liga bola sepak tempatan ditahan selepas dipercayai menceroboh masuk ke dalam bilik sebuah hotel di sini Rabu lalu.
Satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa kira-kira pukul 6.10 petang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa mendakwa suspek iaitu individu dikenalinya menceroboh masuk ke biliknya.
“Suspek kemudiannya meninggalkan bilik hotel berkenaan sebaik sahaja mangsa mendapatkan bantuan pekerja hotel,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Katanya, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan suspek di sekitar kawasan Petaling Jaya sebelum suspek ditahan reman untuk membantu siasatan.
“Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN