Nushi pesan jangan ‘berlebihan’ merayakan Aidilfitri

Jangan ‘berlebihan’ merayakan Aidilfitri

Nushi Mahfodz (kanan) berpesan supaya umat Islam bersederhana dalam menyambut Aidilfitri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Umat Islam di seluruh dunia menyambut 1 Syawal dengan meraikan Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda kemenangan selepas berjaya menunaikan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.

Perayaan ini bukan sekadar simbol kegembiraan, bahkan menjadi manifestasi kesyukuran kepada Allah SWT setelah melalui proses tarbiah rohani selama sebulan.

Sambutan Aidilfitri lazimnya diserikan dengan pelbagai amalan seperti menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga, saling bermaaf-maafan serta bersedekah kepada golongan yang memerlukan.

Amalan-amalan ini bukan sahaja dianjurkan dalam Islam, malah berperanan memperkukuh hubungan silaturahim dan menyemai nilai kasih sayang dalam masyarakat.

Pendakwah bebas, Nushi Mahfodz, berpandangan masyarakat Islam seharusnya menyambut Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan walaupun dalam suasana kegembiraan.

Menurut beliau, makna Aidilfitri sendiri membawa pengertian yang sangat mendalam dari sudut spiritual.

 

*Lahir 1975 @ Glasgow, Scotland
*Dibesarkan di Damansa Utama, Petaling Jaya, Selangor
Pengalaman kerja:
*Panel penceramah jemputan ASTRO, TV3, TV9, RTM, Radio IKIM, Nasional fm selain aktif memberi pengisian, latihan/training di Pejabat Kerajaan dan swasta, Kementerian, IPTA/S seluruh negara.
Pengalaman politik:
*ADUN Semenyih (N24, Selangor) 2023-kini
*2023-2025: Timbalan Pesuruhjaya 3, Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor

 

“Dalam bahasa Arab, perkataan ‘eid’ bermaksud perayaan dan kembali, manakala fitri merujuk kepada fitrah atau naluri asal manusia, justeru, Aidilfitri bermaksud kembali kepada fitrah yang suci.

Apa sahaja amalan kebaikan yang dilakukan sepanjang Ramadan sepatutnya diteruskan dalam bulan Syawal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau menjelaskan kegembiraan selepas berjaya mengharungi Ramadan merupakan sesuatu yang selari dengan fitrah manusia.

Namun begitu, kegembiraan itu tidak seharusnya diluahkan secara berlebihan sehingga melampaui batas yang ditetapkan syariat. Antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk menjaga aurat, berhibur secara sederhana serta tidak mengabaikan kewajipan asas seperti solat fardu.

Menurut beliau lagi, tujuan Aidilfitri adalah untuk memberi peluang kepada umat Islam meraikan kejayaan setelah menunaikan ibadah puasa selama sebulan. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah

SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim bahawa orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan, iaitu kegembiraan ketika berbuka atau berhari raya dan kegembiraan yang lebih besar apabila bertemu dengan Tuhannya kelak.

Dalam masa sama, Islam turut menggalakkan umatnya menziarahi saudara-mara dan rakan taulan dengan mengenakan pakaian yang indah walaupun tidak semestinya baharu. Tujuan utama amalan tersebut adalah untuk mengeratkan silaturahim, saling bermaaf-maafan serta berkongsi kegembiraan bersama keluarga dan masyarakat.

Bagaimanapun, Nushi menyuarakan kebimbangan terhadap trend sambutan Aidilfitri dalam masyarakat hari ini yang dilihat semakin cenderung kepada pembaziran dan persaingan sosial.

Menurutnya, terdapat segelintir masyarakat yang berbelanja secara berlebihan untuk persiapan hari raya walaupun berada dalam keadaan kewangan yang terhad.

Fenomena yang sering digambarkan sebagai social comparison ini menyebabkan sebahagian individu berasa tertekan untuk menandingi gaya hidup orang lain.

Sebagai contoh, ada yang berasa segan untuk menyambut Aidilfitri kerana tidak mampu menyediakan duit raya dalam jumlah besar atau tidak mampu membuat persiapan yang mewah.

Beliau menegaskan, pemberian duit raya bukanlah suatu kewajipan dalam Islam. Sekiranya seseorang tidak mampu, mereka tidak perlu memaksakan diri, sebaliknya cukup sekadar memberikan jumlah yang sederhana atau menggantikannya dengan bentuk kebaikan lain.

Selain itu, terdapat juga yang malu untuk pulang ke kampung kerana tidak memiliki kereta mewah atau bimbang dipandang rendah berbanding ahli keluarga lain.

Persepsi seperti ini menurut beliau perlu diubah kerana Aidilfitri sepatutnya menjadi ruang untuk merapatkan hubungan kekeluargaan, bukan medan perbandingan status atau kemewahan.

Tambahnya, dalam Islam hanya terdapat dua perayaan utama yang disyariatkan, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Selagi sambutan tersebut tidak melanggar batas syariat, umat Islam bebas meraikannya sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN