SEREMBAN: Syarikat pemaju perumahan dan hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) menyalurkan bantuan bekalan makanan dan keperluan harian kepada keluarga kurang berkemampuan di beberapa buah kawasan perumahan di sini.
Pegawai Eksekutif Bersama (Pembangunan Hartanah) Matrix Concepts, Chai Keng Wai berkata, bantuan menerusi program Matrix Foodbank Drive 5.0 juga bertujuan menyampaikan nilai keprihatinan dan kasih sayang kepada golongan yang memerlukan.
Menurutnya, program tersebut dijalankan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kecahara Soup Kitchen dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan yang melibatkan seramai 167 orang penerima.
“Inisiatif ini melangkau sekadar pengagihan makanan dan barangan keperluan asas. Ia adalah tentang menyampaikan keprihatinan, kasih sayang dan maruah kepada keluarga yang memerlukan.
“Program ini turut membuktikan bahawa kerjasama berkesan antara sektor awam dan swasta mampu menghasilkan impak yang signifikan serta berpanjangan kepada masyarakat,” katanya
ketika berucap di Majlis Pelancaran Matrix Foodbank Drive 5.0 di sini semalam.
Menurutnya, program itu juga turut menyantuni tujuh orang bekas anggota polis yang memerlukan bantuan bagi menghargai terhadap jasa dan pengorbanan mereka.
“Sebagai sebuah organisasi sektor swasta, kami berbesar hati dapat menghulurkan sokongan kepada bekas anggota polis yang telah mendedikasikan kehidupan mereka demi memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat. Jasa serta pengorbanan mereka amat dihargai dan tidak akan dilupakan,” katanya. – UTUSAN










