PETALING JAYA: Kesemua bekas Ahli Parlimen PKR yang bertindak keluar parti selepas memperoleh kemenangan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bakal dikenakan tindakan sama seperti Datuk Zuraida Kamaruddin.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR memulakan tindakan dengan bekas Ahli Parlimen Ampang tersebut dan akan meneruskan kepada pemimpin-pemimpin lain yang bertindak keluar daripada parti.
Menurut beliau, PKR mempunyai peluang untuk menang yang cerah kerana fakta kes adalah sama seperti mana kemenangan mereka terhadap Zuraida.
“Sejumlah Ahli Parlimen PKR bertindak keluar parti selepas menang, kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh. Sebagai Setiausaha Agung, saya kemudian memulakan tindakan undang-undang ke atas mereka berkenaan.
“Ahli Parlimen Selayang, William Leong mengetuai peguam. Saya ikut menjadi saksi utama memberi keterangan di hadapan hakim, kena ‘cross’ dengan peguam Zuraida. Berpeluh juga,” ciapnya melalui akaun Twitter.
Utusan Malaysia melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi memutuskan bahawa parti PKR boleh menuntut RM10 juta daripada Zuraida yang juga Naib Presidennya kerana keluar parti selepas menggunakan nama dan logo parti ketika bertanding dan menerima faedah atas kemenangannya pada PRU14.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, semasa PRU yang diadakan pada 2018 itu semua calon PKR tandatangan suatu bon di mana jika selepas menang bertindak keluar parti kena membayar RM10 juta pada parti.
Jelasnya, ketika itu semua calon berkumpul di ibu pejabat parti dan beliau selaku Setiausaha Agung PKR membantu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden parti untuk majlis serahan watikah calon di mana semua sudah tandatangan.
“Pengajarannya, usah khianat. Gembiranya hanya sementara, bukan sedikit penyokongnya sekarang mohon nak masuk parti semula.
“Maaf ya, masuk parti bukan macam bersalin baju,” katanya. – UTUSAN










