AGC bantah semakan kehakiman Bersatu kosongkan kerusi Parlimen

AGC bantah semakan kehakiman Bersatu kosongkan kerusi Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara akan memfailkan bantahan terhadap permohonan semakan kehakiman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memohon kebenaran bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk tidak mengosongkan empat kerusi Parlimen.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi media selepas pengurusan kes itu.

Tambahnya, bantahan itu akan ditimbulkan sewaktu pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman itu yang dijadualkan pada 29 Ogos ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh.

Pada 17 April lalu, Bersatu melalui pegawai awam pertubuhan itu, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Naib Presidennya, Ronald Kiandee selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman itu  dengan menamakan Johari dan empat ahli parlimen iaitu Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) serta Matbali Musah (Sipitang).

Menurut afidavit yang difailkan, pemohon mendakwa telah berlaku kekosongan luar jangka membabitkan Parlimen Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang.

Kekosongan itu berlaku selepas Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor telah membuat satu kenyataan media yang menyatakan kesemua pemimpin parti Bersatu Sabah termasuk responden kedua hingga kelima telah keluar daripada parti pada 10 Disember 2022, iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri baharu.

Responden kedua hingga kelima bertanding pada PRu15 di bawah logo GRS.

Pada 19 Disember 2022, dalam persidangan Parlimen pertama selepas PRU15, kedudukan responden kedua hingga kelima di bahagian kerajaan jelasnya menunjukkan niat mereka untuk meninggalkan Bersatu.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Bersatu telah mengeluarkan Notis Pemberhentian kepada responden kedua hingga kelima pada 21 Disember 2022.

Disebabkan pemberhentian itu berlaku selepas PRU15, maka pemohon mendakwa berlaku kekosongan berdasarkan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lalu menyatakan bahawa responden kedua hingga kelima telah memberikan penjelasan dan tidak berlaku kekosongan berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan Perlembagaan Bersatu.

Sehubungan itu, Bersatu dan Kiandee mendakwa tindakan Johari itu adalah tidak sah, tidak mengikut perlembagaan dan penyalahgunaan kuasa.

Oleh itu, Bersatu dan Kiandee memohon agar surat bertarikh 16 Januari lalu dibatalkan dan empat Parlimen terbabit dikosongkan.

Mereka turut memohon agar kekosongan tersebut dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari daripada keputusan mahkamah.

Selain itu, Bersatu dan Kiandee memohon agar surat penjelasan responden kedua hingga kelima yang diserahkan kepada Johari diberikan kepada parti berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya