KOTA BHARU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan terkawal dan selamat meskipun berlaku insiden serangan bersenjata terhadap anggota polis di Pattani, Thailand baru-baru ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kawalan keselamatan di pintu sempadan negara terus diperkukuhkan menerusi pemantauan dan rondaan selama 24 jam sehari bagi memastikan tiada sebarang ancaman mampu menjejaskan kedaulatan negara.
Katanya, pihak polis sentiasa berada pada tahap kewaspadaan tinggi khususnya membabitkan isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati), jenayah rentas sempadan serta sebarang ancaman keselamatan lain.
“Tahap kawalan dan keselamatan sempadan negara tidak pernah berubah. Kita kekalkan kawalan sedia ada demi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
“Di Kelantan, kita sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga. Kawalan sempadan diteruskan seperti biasa dan setakat ini tidak ada sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ibadah Korban Jama’ie Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini hari ini.
Beliau mengulas serangan sekumpulan lelaki bersenjata api yang berpakaian wanita Muslim terhadap sebuah kenderaan dinaiki anggota polis Thailand di Yarang, Pattani.
Mohd. Yusoff berkata, insiden berkenaan disifatkan sebagai kes terpencil di selatan Thailand dan tidak memberi kesan kepada situasi keselamatan di sempadan Malaysia.
“Ia bukan kejadian yang berlaku setiap hari. Kita tidak tahu apa isu politik di sana dan mengapa polis dijadikan sasaran. Bagaimanapun, kita tidak mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian itu,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang guru wanita maut ditembak ketika sedang memangku bayi lelakinya berusia dua bulan dalam satu serangan bersenjata di hadapan sebuah sekolah di Daerah Yarang di sini, petang semalam.
Kejadian pukul 3.30 petang itu berlaku ketika mangsa Fatimah Yango, 35, bersama bayi dan suami yang merupakan anggota polis berpangkat sarjan sedang menunggu untuk mengambil seorang lagi anak mereka yang bersekolah di kawasan tersebut. – UTUSAN










