Mempolitikkan ibadah korban tindakan tidak matang - Utusan Malaysia

Mempolitikkan ibadah korban tindakan tidak matang

MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sayap pemuda PKR menyifatkan sindirian Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Saari berhubung sumbangan lembu korban Aidiladha oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak matang.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan itu cubaan mewujudkan persepsi politik terhadap usaha kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, Anwar melaksanakan amanah sebagai ketua kerajaan dan Menteri Kewangan dengan memastikan peruntukan kebajikan serta bantuan rakyat disalurkan secara adil ke seluruh negara termasuk negeri-negeri pembangkang.

“Malah rakyat di Kelantan termasuk di Parlimen Pasir Mas sendiri tidak pernah dipinggirkan daripada menerima pelbagai bentuk bantuan dan manfaat di bawah kerajaan Madani.

“Ahli Parlimen Pasir Mas sewajarnya bertanya sendiri kepada Menteri Besar Kelantan sama ada Perdana Menteri pernah berlaku zalim terhadap rakyat negeri itu ataupun sebaliknya,” katanya semasa menyertai program ibadah korban di sini semalam.

Fadhli menerusi akaun Facebook pada 25 Mei lalu, membangkitkan berkenaan sumbangan lembu di Permatang Pauh oleh Perdana Menteri dan bertanyakan bagaimana boleh mendapatkan sumbangan sama untuk kawasannya.

Muhammad Kamil berkata, bagi mengimarahkan sambutan Aidiladha tahun ini, lebih 700 ekor lembu korban telah disumbangkan menerusi peruntukan dan sumbangan yang diselaraskan atas kapasiti Anwar selaku Perdana Menteri untuk tujuan kebajikan rakyat di seluruh negara.

Jelasnya, di Parlimen Padang Rengas sahaja, hampir 50 ekor lembu korban telah diagihkan kepada masjid, surau, rumah anak yatim, pusat tahfiz, persatuan dan penduduk sekitar.

“Ini membuktikan bahawa usaha yang digerakkan bukanlah bersifat politik semata-mata, sebaliknya merupakan gerakan kebajikan berskala besar yang memberi manfaat secara terus kepada rakyat, khususnya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN