Majlis akikah jadi kenduri tahlil tiga ahli keluarga

Majlis akikah jadi kenduri tahlil tiga ahli keluarga

MOHD. Jamil Hussain (kanan) menyiram pusara arwah isterinya di Tanah Perkuburan Bidan Sari, Kampung Kok Bedullah, Tumpat, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Hasrat seorang buruh mahu menyambut Aidiladha dan mengadakan majlis akikah untuk cucu perempuannya bertukar menjadi kenduri tahlil.

Ia selepas anak perempuannya, Jasmin Lyana Mohd. Jamil, 22, bersama isterinya, Safinaz Razmi, 52, dan cucu mereka Nur Nuha Helena Abd. Matin meninggal dunia dalam nahas

di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Laloh di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, Safinaz meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Jasmin Lyana dan Nur Nuha Helena meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.

Mohd. Jamil Hussain, 53, berkata, sejak seminggu lalu arwah isterinya berada di rumah anak perempuan dan menantunya, Muhamad Danial Darwish Che Hasmadi, 23, di Kuala Lumpur.

Katanya, pasangan itu meminta bantuan Safinaz menguruskan pemeriksaan kesihatan Nur Nuha Helena sebelum mereka pulang bersama ke Kampung Kok Bedullah di sini untuk menyambut Aidiladha.

“Saya dan arwah isteri sudah merancang untuk mengadakan majlis akikah cucu pada Aidiladha pertama.

“Saya juga sudah mengambil satu bahagian lembu korban untuk akikah Nur Nuha Helena, namun semuanya bertukar tragedi apabila tiga ahli keluarga saya pergi serentak,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Bidang Sari, Kampung Kok Bedullah di sini hari ini.

Terdahulu, jenazah Safinaz, Jasmin Lyana dan Nur Nuha Helena dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 8.15 pagi tadi dalam suasana hiba yang dihadiri hampir 100 ahli keluarga dan penduduk kampung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN