AS sekat agensi Iran kutip yuran di Selat Hormuz

AS sekat agensi Iran kutip yuran di Selat Hormuz

KAPAL kontena Hamouna berbendera Iran berlabuh ketika sebuah bot laju kecil melintasi Selat Hormuz berhampiran bandar Abbas di selatan Iran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan sekatan terhadap Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi Iran, agensi baharu Teheran yang mengutip yuran untuk perjalanan melalui Selat Hormuz.

“Percubaan terbaharu tentera Iran untuk memeras ugut perdagangan maritim global membuktikan tekanan ekonomi menyebabkan rejim itu terdesak mendapatkan wang tunai,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu turut memberi amaran mana-mana pihak yang membayar yuran tersebut berisiko dikenakan sekatan kerana mereka mungkin ‘memberi sokongan dan menerima perkhidmatan’ daripada Pengawal Revolusi Iran.

“Perbendaharaan AS menyekat sumber pendapatan rejim Iran bagi program senjata, proksi pengganas dan cita-cita nuklearnya,” kata Bessent.

Menurut kenyataan itu, AS berjaya menghalang akses Teheran kepada ‘hasil bernilai puluhan bilion dolar’.

Dalam hantaran di platform X pada 20 Mei lalu, Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi mengeluarkan peta yang menetapkan ‘bidang kuasa kawal selia’ mereka dengan menandakan garisan merah di kedua-dua sisi Selat Hormuz yang memerlukan kebenaran Iran untuk dilalui.

Tentera AS dan Iran mematuhi gencatan senjata sejak 8 April ketika usaha diplomatik diteruskan bagi mencapai penyelesaian rundingan, namun Iran memperketat kawalan terhadap perkapalan di Selat Hormuz sementara AS melancarkan serangan ke atas sasaran Iran sejak beberapa hari lalu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei pada Isnin berkata, Teheran akan terus menguruskan trafik di Selat Hormuz yang strategik, laluan yang mengendalikan kira-kira 20 peratus penghantaran minyak dan gas asli dunia.

Beliau turut menegaskan Iran hanya mengenakan bayaran bagi ‘perkhidmatan navigasi’, bukannya mengenakan tol.

Konflik itu tercetus selepas AS dan Israel menyerang republik Islam itu pada 28 Februari, yang kemudian dibalas Iran menerusi serangan peluru berpandu dan dron di seluruh rantau berkenaan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN