239 hari lagi sebelum Seri Paduka berdua balik ke Pahang

239 hari lagi sebelum Seri Paduka berdua balik ke Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hanya mempunyai kira-kira 239 hari sebelum menamatkan tugas dan berangkat pulang ke Pahang.

Namun begitu Seri Paduka menzahirkan kesyukuran kerana dianugerahkan taufik dan hidayah serta kudrat daripada Allah untuk melaksanakan amanah besar memayungi Malaysia selama hampir lima tahun.

Titah Al-Sultan Abdullah, nasihat dan pandangan Raja-Raja Melayu telah berupaya membantu dalam merungkai pelbagai kemelut yang melanda negara sepanjang lima tahun pemerintahan Seri Paduka.

Agong bertitah, semangat musyawarah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu terus dijunjung dan diperkasakan sebagai mekanisme semak dan imbang terakhir ke atas tadbir urus negara yang telus demi kelangsungan hidup rakyat.

“Beta juga melafazkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga di atas kepercayaan Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu kepada beta,” titah Seri Paduka sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraaan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini,

Titah Al-Sultan Abdullah, sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong antara sembilan raja-raja Melayu yang diamalkan sejak kemerdekaan negara menjadi bukti bahawa kekuasaan dan jawatan bukanlah bersifat mutlak.

Seri Paduka bertitah, institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara merupakan tiang seri kepada perpaduan yang melangkaui kaum, bangsa dan agama di samping pemusatan dan tumpuan kesetiaan tidak berbelah bahagi oleh Kerajaan Persekutuan, Angkatan Tentera Malaysia dan rakyat.

“Ianya adalah satu mercu tanda yang melindungi Perlembagaan Persekutuan, menjadi sumber keadilan, tonggak kestabilan dan penjaga kepada amalan demokrasi negara.

“Natijahnya Yang di-Pertuan Agong adalah umpama obor yang sentiasa menyinar negara agar tidak tergelincir dari acuan Perlembagaan Persekutuan serta idealisme cita dan harapan masa hadapan negara,” titah Al-Sultan Abdullah.

Oleh itu, bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah menyeru rakyat untuk tanamkan iltizam dan tekad menjauhi persengketaan, menolak sebarang bentuk sentimen perkauman dan menjauhi benih-benih polemik keagamaan.

“Hakikatnya apabila rakyat berseteru semasa sendiri, maka penuhlah negara dengan nista dan dosa. Akhirnya runtuh bangsa dan runtuhlah negara,” tegas Seri Paduka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya