SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesan kira-kira satu juta rakyat negeri itu yang berusia 25 tahun ke atas tidak menunaikan tanggungjawab mereka untuk membayar zakat menerusi organisasi tersebut.
Jumlah itu berdasarkan rekod LZS sejak 2010 yang mencatatkan seramai 1.47 juta penduduk negeri tersebut beragama Islam berusia 25 tahun sehingga 75 tahun.
Ketua Divisyen Kutipan LZS, Muhd. Fikri Naim Harun berkata, berdasarkan statistik golongan belia yang berusia antara 25 hingga 34 tahun adalah kumpulan yang paling ramai tidak membayar zakat di LZS.
“Mengikut data statistik pada tahun 2010, ada seramai 1.47 juta orang yang sepatutnya membayar zakat di Selangor dalam lingkungan usia 25 tahun ke atas.
“Daripada jumlah itu, kita tolak golongan asnaf dan pembayar sedia ada iaitu seramai 400,000 orang selebihnya terdapat satu juta yang belum membayar zakat kepada LZS,” katanya ketika ditemui dalam Program Start With Seringgit di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Dato’ Mufti Yusuf Shahabuddin Seksyen 7, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Muhd. Fikri berkata, apa yang membimbangkan adalah satu juta individu yang tidak membayar zakat di negeri tersebut culas atau cuai melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai orang Islam.
“Kita bersangka baik, mereka mungkin mengagih sendiri zakat kepada golongan asnaf, membayarnya ke luar negeri atau negara, tetapi itu kami tak pasti,” katanya.
Oleh itu, LZS melaksanakan program Start With Seringgit bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah supaya dapat memberi pendedahan kepada murid-murid bagi mengelakkan senario sama berlaku untuk 15 tahun akan datang.
“Ini adalah saru inisiatif melentur buluh daripada rebungnya kerana mereka yang berusia 10, 11 dan 12 tahun ini, pada 15 tahun akan datang adalah bakal pengeluar zakat di Selangor,” kata Muhd. Fikri.
Beliau berkata, buat pertama kalinya LZS berjaya mengumpul kutipan zakat sebanyak RM1.07 bilion.
“Kita sasarkan peningkatan sebanyak RM100 juta lagi sehingga akhir tahun ini iaitu sebanyak RM1.2 bilion,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhd. Fikri berkata, LZS menyasarkan untuk meningkatkan lagi jumlah pembayar zakat sedia ada dengan sasaran mencapai 35 peratus daripada 1.47 juta individu. – UTUSAN










