TANAH MERAH: Meskipun kudratnya tidak segagah sewaktu usia muda, seorang warga emas tetap cekal menjaga dua anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) kategori mental di Kampung Sat Tengah, di sini.
Eh Mek Kee Chooi, 83, yang kini hanya mampu mengengsot untuk bergerak sudah menjaga dua anaknya iaitu Tan Kim Ann, 54, dan Tan Bee Kium, 42, sejak 20 tahun lalu.
Eh Mek berkata, walaupun tugas itu amat mencabar namun dia terpaksa menjaga dua beradik tersebut kerana lima anaknya yang lain sudah mempunyai keluarga masing-masing.
Menurutnya, bagaimanapun dia lega apabila urusan makan minum dia dan seorang lagi anaknya yang menghidap kencing manis dibantu oleh Bee Kium.
“Walaupun dua anak mempunyai masalah mental, saya terpaksa tinggal bersamanya kerana mereka tiada tempat untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa menerima kunjungan
Pengerusi Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) Pui Tiong Lam yang menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban keluarga tersebut.
Eh Mek memberitahu, walaupun dua anaknya itu ada bertindak agresif pada masa-masa tertentu namun setakat ini tiada kejadian buruk berlaku. Katanya, dalam tempoh dua atau tiga bulan sekali Kim Ann dan Bee Kum akan diberikan suntikan. “Kedua-dua mereka turut mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pihak hospital untuk rawatan,” ujarnya.- utusan










