Utamakan makanan di atas meja berbanding rokok, produk nikotin - Utusan Malaysia

Utamakan makanan di atas meja berbanding rokok, produk nikotin

MOHIDEEN Abdul Kader dalam sidang akhbar berkenaan keutamaan untuk menyediakan makanan berbanding berbelanja untuk rokok atau nikotin di pejabat CAP di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pengguna khususnya golongan perokok perlu mengamalkan sikap berhemat dalam belanjawan keluarga dalam situasi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini dengan mengutamakan makanan, bukannya produk tembakau yang berbahaya.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, perokok mesti merebut peluang untuk menghentikan tabiat merokok atau menghisap vape memandangkan keadaan ekonomi semasa di mana setiap ringgit dikira untuk memastikan makanan berada di atas meja.

Ujar beliau, pembelian makanan akan memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga dengan menambah baik khasiat pemakanan dan kesihatan mereka.

Secara perbandingan, tambahnya, sekotak rokok 20 batang ketika ini berharga kira-kira RM17 dan menghisap dua kotak rokok boleh membeli 10 kilogram (kg) beras; sebotol minyak masak 5 kg atau 2 kg paha ayam.

Sehubungan itu, ujar Mohideen, jika perokok menghentikan tabiat mereka, ia akan memberi manfaat khususnya kepada sebahagian besar mereka yang berada dalam Kumpulan Bawah 40 (B40).

“Ini kerana, kira-kira 40 peratus daripada golongan B40 merokok berbanding 31 peratus daripada Kumpulan Pertengahan 40 (M40) dan lima peratus daripada Kumpulan Tertinggi 20 (T20).

“Anak-anak keluarga B40 lebih cenderung mengalami kekurangan zat makanan dan pertumbuhan terbantut kerana keluarga mereka kurang bernasib baik dari segi kewangan dan merokok memburukkan lagi keadaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Mohideen, saranan supaya perokok lebih mengutamakan makanan itu juga selari dengan tema sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia (WNTD) tahun ini iaitu ‘Kita Perlukan Makanan, Bukan Tembakau’.

Ujar beliau, tema itu amat berkaitan dengan Malaysia walaupun petani tembakau kini mula beralih kepada penanaman kenaf kira-kira sedekad lalu.

Jelasnya, industri tembakau kini memberikan tumpuan bagi mendorong nikotin yang menyebabkan ketagihan sebagai pengganti.

“Sama ada seseorang itu menghisap rokok konvensional atau Sistem Penyampaian Nikotin Elektronik (ENDS), atau Produk Tembakau Dipanaskan (HTP), semuanya menyebabkan ketagihan dan berbahaya.

“Pengguna perlu berhati-hati terhadap ketagihan sepanjang hayat dan seterusnya berisiko menghadapi penyakit tidak berjangkit kronik yang dikaitkan dengan tabiat itu.

“Perokok mestilah berhenti merokok dan menyedut lebih daripada 7,000 bahan kimia, kebanyakannya amat toksik atau karsinogenik,” katanya.

Di Malaysia, tambah Mohideen, bilangan remaja yang berusia antara 13 hingga 17 tahun yang menghisap vape bertamnah sekali ganda iaitu 14 perarus berbanding mereka yang merokok (6.2 peratus).

Ujarnya, terdapat kira-kira 17,000 perisa e-rokok yang boleh diperolehi melalui online yang menyasarkan kanak-kanak.

“Sedangkan kanak-kanak perlu memakan lebih banyak buah-buahan segar, bukannya menghisap vape ENDS berperisa buah-buahan.

“Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan supaya menyegerakan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Generasi Penamat (GEG) secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya