Ucapan terima kasih bekas anak murid hadiah paling berharga

Ucapan terima kasih bekas anak murid hadiah paling berharga

AZIZAN Hashim kini antara wartawan sukan yang disegani di Perak. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: “Ucapan terima kasih daripada bekas anak murid paling menyentuh perasaan dan hadiah paling bermakna buat saya sebagai bekas guru mereka.”

Itu kata seorang pesara guru, Azizan Hashim, 66, yang merupakan bekas guru kepada beberapa orang anak muridnya yang kini bergelar pemimpin negara.

Antara bekas anak murid beliau ialah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri.

Katanya, mereka adalah antara anak muridnya ketika beliau bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson Ipoh.

Mengenang semula saat-saat beliau menjadi guru kepada ketiga-tiga mereka, Azizan berkata, kesemua mereka pelajar yang baik namun Ahmad Faizal atau lebih dikenali dengan panggilan Peja, agak nakal berbanding yang lain.

“Kejayaan anak murid adalah kejayaan kita juga sebagai bekas guru mereka.

“Saya rasa puas hati apabila ada bekas anak murid yang datang jumpa berjumpa dan mengucapkan terima kasih kepada saya. Kata-kata mereka ‘kalau tak kerana cikgu, kami tak kan berjaya’, itu yang menyentuh perasaan. Itu adalah hadiah paling istimewa buat saya sebagai bekas guru,” katanya.

Memulakan kerjayanya sebagai guru pada tahun 1976 dan ditempatkan di Sekolah St. Micheal, Sandakan,Sabah, Azizan kemudiannya bertugas di Semenanjung lima tahun kemudian.

Beliau kemudiannya mengajar di beberapa buah sekolah antaranya Sekolah Menengah Rendah Batu Gajah yang kini dikenali Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Indera Wangsa Ahmad di Batu Gajah, SMK Anderson dan SMK Kampung Pasir Putih, Ipoh sebelum bersara pada tahun 2015.

Dikatakan seorang guru disiplin yang garang, Azizan berkata, beliau tidak tahu bagaimana ‘label’ itu boleh diberikan kepada beliau.

“Semasa saya bersekolah di ACS (Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist, Ipoh), kami ada seorang discipline master yang garang sehinggakan kelibat dia sudah cukup untuk mententeramkan keadaan, mungkin daripada situ agaknya saya juga tegas dalam soal disiplin.

“Kalau ada yang tidak betul, memang saya ambil tindakan, semua itu saya lakukan demi mendidik mereka supaya berdisiplin,” katanya.

Sementara itu, Azizan juga merupakan sebagai pemberita sambilan yang menulis berita sukan dan berkhidmat untuk beberapa media arus perdana sejak 40 tahun lalu.

Kini beliau merupakan penulis sukan untuk akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.

“Saya mula menjadi pemberita sambilan pada tahun 1983, menulis berita-berita sukan khususnya laporan mengenai pasukan bola sepak Perak. Kerana mahu mendapatkan berita atau membuat laporan perlawanan pasukan bola sepak Perak, Stadium Perak sudah ibarat rumah kedua saya,” katanya.

“Selain mengenal pemain Perak sejak zaman Azizol Abu Hanifah hingga sekarang, saya juga mempunyai hubungan yang rapat dengan jurulatih Perak antaranya mendiang Karl Heinz Weigang dan jurulatih dari Australia, Mehmed Durakovic.

“Mengenali mereka merupakan antara pengalaman berharga sebagai seorang wartawan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.