Warga Russia sampai puncak Everest tanpa kaki - Utusan Malaysia

Warga Russia sampai puncak Everest tanpa kaki

RUSTAM NABIEV menawan gunung Everest hanya menggunakan tangannya. Instagram/@rustam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Pendaki gunung Russia, Rustam Nabiev, mencipta sejarah apabila berjaya menawan Gunung Everest, Nepal  hanya menggunakan tangannya.

Lelaki berusia 34 tahun yang kehilangan kedua-dua kaki itu berjaya tiba di puncak gunung tertinggi dunia setinggi 8,848.86 meter dari aras laut pada 20 Mei lalu pada pukul 8.16 pagi waktu tempatan. 

Nabiev menyifatkan pendakian itu sebagai yang pertama dalam sejarah manusia.

“Saya, Rustam Nabiev, telah sampai ke puncak Everest hanya menggunakan tangan saya,” tulisnya dalam satu hantaran media sosial yang mengumumkan pencapaian tersebut.

“Saya dedikasikan pendakian ini kepada semua yang sedang menyaksikan saya sekarang. Dengan tindakan ini, saya hanya mahu menyatakan satu perkara: selagi masih ada nyawa dalam diri anda, teruslah berjuang!,” tambahnya.

Nabiev turut berkongsi sekeping gambar dirinya di puncak sambil memegang poster bertulis:“Kepada mereka yang menyangka hidup berakhir selepas kejatuhan. Rustam Nabiev, Everest 2026.”

Kejatuhan yang dialaminya sendiri berlaku pada 2015 apabila sebuah berek tentera runtuh di bandar Omsk, utara Russia. Nabiev kehilangan kedua-dua belah kaki dalam tragedi itu, namun enggan membiarkan musibah tersebut menentukan kehidupannya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN