KOTA KINABALU: Malaysia diyakini mampu menentang keputusan timbang tara di Mahkamah Antarabangsa dalam isu pembayaran pampasan berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) yang dituntut pihak mendakwa waris Sultan Sulu.
Peguam Undang-undang dan Perlembagaan, Datuk Tengku Fuad Tengku Ahmad berkata, Malaysia sedang mengambil langkah untuk menentang keputusan timbang tara itu kerana anugerah berjumlah RM62.59 bilion itu tidak diiktiraf.

EWON BENEDICT“Sudah tentu kita tidak boleh dedahkan strategi kita kerana proses perundangan ini amat rumit namun, Sekretariat Khas sedang melakukan yang terbaik. Malah, kita mendapatkan bantuan peguam terbaik di luar negara.
“Kita juga yakin Malaysia akan berjaya menentang dan menangani isu tuntutan pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu,” katanya selepas Sesi libat urus mengenai status semasa isu tuntutan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah semalam.
Menurut ahli Sekretariat Khas Sulu ini, isu perundangan mengenai tuntutan waris Sulu itu timbul susulan surat yang dikeluarkan oleh bekas Peguam Negara.
Sementara itu, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Sabah seharusnya terbatal dan tidak lagi timbul setelah Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, sepatutnya tiada lagi isu tuntutan terhadap Sabah kerana Filipina dan negara-negara bersempadan dengan Sabah (Borneo Utara) telah diberi ruang untuk menyatakan pandangan terhadap cadangan penubuhan Malaysia.
Beliau berkata, berdasarkan hasil dapatan daripada Suruhanjaya Cobbold dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), penubuhan Malaysia sepatutnya telah membatalkan apa sahaja perjanjian yang dibuat oleh penjajah Borneo Utara sebelum itu.
“Penubuhan Malaysia telah melalui proses yang betul bagi membentuk sebuah persekutuan yang baharu pada 16 September 1963 dan negara baharu itu berhak untuk membangun.
“Maka, sebarang tuntutan yang dibuat sebelum ini seharusnya telah terbatal atau tidak lagi wujud, tuntutan itu sudah tiada selepas 1963. Ini adalah interpretasi saya, apa pun pandangan orang lain, itu pandangan mereka,” katanya.
Ewon, yang juga ADUN Kadamaian berkata, pada masa ini pelaksanaan MA63 harus menjadi fokus kerajaan kerana Malaysia tidak perlu dibebankan dengan satu tuntutan yang mendakwa waris Sultan Sulu.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, satu Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan dan Kekebalan Negara Dalam Timbang Tara Komersial anjuran bersama BHEUU dan Asian International Arbitration Centre (AIAC) dan Universiti Malaya akan diadakan 9 Mei ini.-utusan
Kolokium itu bagi memberi pencerahan yang lebih terperinci berkaitan isu tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.-utusan










