PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengakui sebahagian kawasan rentis milik mereka di Pulau Meranti, Puchong seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia minggu lalu diceroboh pendatang asing tanpa izin (PATI).
Malah, tanah berkenaan didapati digunakan untuk aktiviti tanaman kontan dan diusahakan secara haram.
Syarikat utiliti itu menjelaskan, hasil semakan mendapati aktiviti penanaman sayuran dan kontan di kawasan rentis tidak mempunyai kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak pernah mendapat kebenaran TNB.
Rentis TNB merupakan rizab awam diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara atau yang dikuatkuasakan melalui Akta Bekalan Elektrik dengan sebarang aktiviti di bawah talian rentis perlu mendapat ulasan teknikal daripada TNB dan PBT.
Menurut TNB lagi, tindakan penguatkuasaan akan dijalankan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Sepang dalam masa terdekat bagi menghentikan aktiviti pencerobohan dan pihaknya akan memasang penghadang atau pagar di samping menjalankan pemantauan berkala bagi memastikan aktiviti itu tidak berulang.
“TNB menasihatkan orang ramai agar tidak menjalankan sebarang aktiviti dalam kawasan rentis tanpa kebenaran bertulis serta perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Aktiviti-aktiviti pencerobohan tidak mendapat kelulusan TNB boleh menyebabkan risiko kemalangan jiwa, kerosakan pepasangan TNB dan gangguan bekalan sistem Grid Nasional.
“Sebarang aktiviti tanpa kebenaran di dalam rentis TNB merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 37(12)(a) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 448) dan boleh diambil tindakan undang-undang termasuk tindakan di bawah Seksyen 37(12)(b) akta sama.
“Ia memperuntukkan bahawa mana-mana orang melanggar seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan, apabila disabitkan memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” kata TNB dalam kenyataan.
TNB merujuk laporan akhbar ini berkaitan dakwaan bahawa Pulau Meranti di Puchong, Selangor yang kini menjadi lokasi tumpuan PATI membina penempatan haram dan kebun di kawasan berkenaan.
Menurut laporan itu, warga asing di lokasi tersebut didakwa menyasarkan kawasan sekitar grid elektrik TNB untuk membina penempatan dengan dikelilingi oleh kebun tanaman sayuran.
Pada masa sama TNB menjelaskan, pihaknya bersama Pejabat Daerah dan Tanah Sepang dan agensi-agensi berkaitan mengadakan perbincangan dan lawatan tinjauan di lokasi pencerobohan pada 9 Mei lalu susulan laporan itu.
“Tinjauan tersebut mendapati tiada sebarang struktur atau penempatan PATI dalam kawasan rentis TNB (20 meter di kiri dan kanan menara talian). Selain itu, tiada struktur reban ayam dalam kawasan rentis TNB.
“Bagaimanapun, sebahagian kawasan rentis digunakan untuk aktiviti tanaman kontan yang diusahakan oleh PATI secara haram,” katanya. – UTUSAN










