JOHOR BAHRU: Tiga kru yang masih hilang selepas kapal MT Pablo terbakar kira-kira 50 peratus di kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili, Kota Tinggi semalam dipercayai masih hidup.
Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, ketiga-tiga kru berkenaan juga telah dikenal pasti, iaitu dua warganegara India, Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, serta seorang warganegara Ukraine, Sabit Shenderovsky, 37.



“Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 3 petang semalam itu, terdapat seramai 28 kru di dalam kapal berkenaan, 25 daripadanya telah diselamatkan, manakala tiga lagi masih dicari.
“Ada kemungkinan mereka masih terselamat jika dapat melarikan diri daripada kawasan kebakaran, iaitu ruangan tengah kapal. Mungkin ada ruangan tertutup yang kedap udara menyebabkan kawasan itu tidak terjejas.
“Namun, jumlah bekalan oksigen pula bergantung dengan saiz ruangan berkenaan, sekiranya saiz kecil mungkin boleh bertahan sehari, atau jika ruangan itu besar mungkin mereka boleh bertahan beberapa hari,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria.
Saiful Lizan berkata, ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan melibatkan pelbagai aset laut dan udara beberapa agensi termasuk Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Laut Johor serta Pelabuhan Johor.
“SAR yang dijalankan terbahagi kepada empat sektor, antaranya kawasan pencarian menggunakan aset laut seluas 47.4 batu nautika dan aset udara seluas 23.76 batu nautika.
“Selain itu, kita juga mendapatkan khidmat pasukan Hazmat bomba untuk memasuki kapal yang masih dipenuhi asap itu esok dalam usaha menjalankan SAR di atas kapal, memandangkan terdapat kemungkinan kru kapal hilang masih terperangkap di dalamnya.
“Ketika ini, punca kebakaran masih dalam siasatan kerana terlalu awal, namun kita bersyukur kerana tidak berlaku sebarang tumpahan minyak di lokasi kerana ketika kejadian kapal tangki berkenaan tidak membawa muatan,” jelasnya.
Saiful Lizan turut memberitahu, kapal berkenaan mempunyai dokumen perjalanan lengkap dan sedang menanti kelulusan untuk memasuki Singapura dari China. – UTUSAN










