PETALING JAYA: Sistem tanaman padi bukan sahaja tidak efisien malah masih menggunakan cara lama apabila tiada perubahan dasar untuk menukar kaedah konvensional itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata, walaupun kerajaan bersilih ganti, dasar pertanian tidak berubah dan menyebabkan sektor itu terus terabai sekali gus menyebabkan negara bergantung kepada aktiviti import luar negara.
Jelasnya, tiada perubahan dalam mekanisme tanaman padi apabila sikap penggubal dasar dan masyarakat sendiri yang mengabaikannya kerana terlalu mengutamakan sektor perindustrian berbanding pertanian meskipun mengetahui perkara itu penting demi kesinambungan makanan penduduk.
“Sektor padi dari dulu hingga kini tiada perubahan. Malah pesawah semakin lama tinggalkan bendang terbiar kerana tiada rangsangan dan motivasi. Anak muda pula tidak minat apatah lagi masih menggunakan peralatan lama dan SOP pun cara lama.
“Jadi kita terpaksa banyak bergantung pada import seperti padi dan sayur-sayuran dari negara luar. Tetapi apabila dunia dilanda krisis sama ada perang dan penyakit, maka terjejas keselamatan makanan dan menyebabkan bekalan kurang dan harga input pertanian meningkat tinggi,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kaedah penanaman padi konvensional yang tidak efisien menyebabkan Malaysia kerugian RM1.8 bilion setahun kerana mengimport satu juta beras bagi menampung keperluan tempatan.
Mazlan justeru itu menegaskan, sekiranya sektor tanaman padi tidak dipulihkan dengan serius pada kadar segera, negara boleh berdepan krisis makanan dan membebankan perbelanjaan kerajaan apabila perlu mengimport beras.
Oleh itu, beliau amat mengharapkan Kerajaan Perpaduan mempunyai satu kerangka dasar yang jelas dan insentif yang terarah membangunkan ribuan lot tanah terbiar dan tidak boleh lagi sekadar perancangan tanpa pelaksanaan.
“Usaha membangunkan tanah terbiar seperti yang kerap diungkapkan selama ini hanya tinggal janji jika proses pelaksanaannya terlalu perlahan dan lebih malang lagi, tiada usaha untuk menggerakkannya,” katanya.
Sementara itu Pakar Pertanian, Prof. Datuk Dr. Mad. Nasir Shamsudin berkata, peningkatan pengeluaran makanan termasuk tanaman padi dapat dilakukan dengan penerokaan tanah dan peningkatan produktiviti.
Katanya, usaha itu dapat direalisasikan dengan gabungan dasar yang kondusif, penggunaan teknologi moden dan keusahawanan.
“Beberapa faktor yang telah menyebabkan sektor makanan ketinggalan merangkumi pelaburan yang rendah dalam penyelidikan pertanian, ladang berskala kecil dengan tahap teknologi yang rendah, keusahawanan dan sumber yang semakin berkurangan.
“Selain itu, faktor penting peningkatan defisit perdagangan makanan adalah pulangan relatif yang lebih lumayan daripada pengeluaran komoditi terutamanya minyak sawit berbanding pengeluaran makanan dan peningkatan dalam pendapatan per kapita yang mengubah corak permintaan makanan,” katanya.
Kata beliau, sekiranya insentif diberikan kepada pelaburan dalam pengeluaran makanan setanding dengan tanaman komoditi, maka ia dapat menambahbaik pertanian. – UTUSAN










