Teliti semula keputusan tarik balik rayuan kalimah Allah - Peguam Syarie - Utusan Malaysia

Teliti semula keputusan tarik balik rayuan kalimah Allah – Peguam Syarie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa meneliti semula keputusan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat meneruskan rayuan tersebut ke mahkamah tertinggi negara dengan mempertimbang pelbagai sudut dan segala aspek khususnya kepada maslahah dan kepentingan umat Islam di negara ini.

Beliau menambah, pihaknya melahirkan rasa dukacita dan terkilan dengan tindakan tersebut serta menggesa pihak kerajaan memberikan penjelasan berhubung dengan tindakan penarikan balik rayuan itu kerana secara langsung menjejaskan kepentingan umat Islam.

“PGSM menegaskan bahawa sebarang tindakan dibuat kerajaan hendaklah mengambil kira undang-undang negeri khususnya menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu termasuk Allah yang diluluskan Dewan Undangan Negeri dan diperkenan oleh Sultan serta mengelakkan sebarang tindakan boleh menjejaskan kuasa raja-raja Melayu.

“Kami juga berharap pihak kerajaan tidak terpengaruh dengan desakan pihak-pihak tertentu supaya kerajaan menarik balik rayuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dilaporkan telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab.

Notis pemberhentian tersebut telah difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 18 April lalu.

Menurut notis berkenaan, menyatakan bahawa kementerian itu dan Kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Selain itu, Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, penjelasan penuh perlu diberikan berkaitan dengan tindakan ini dan mengapa tidak dimaklumkan kepada masyarakat Islam lain.

Pihaknya juga memohon penjelasan sama ada Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah yang telah diberikan hak oleh mahkamah menjadi sahabat mahkamah dalam kes itu dirujuk sebelum sebarang tindakan diambil kerajaan.

“Selangor umpamanya terdapat undang-undang negeri yang menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu termasuk Allah yang telah diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor dan diperkenan oleh Sultan Selangor.

“Sebagai Ketua Agama Negeri yang termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa budi bicara sebagai Ketua Agama Negeri di dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, penarikan balik secara unilateral ini telah menjejas kuasa Sultan Selangor khususnya,” katanya.

Pada 10 Mac 2021, Hakim Nor Bee Ariffin yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran namun tertakluk pada syarat-syarat tertentu.

Selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘solat’.

Bagaimanapun, penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu perlu disertakan dengan penafian (disclaimer) ‘Hanya untuk penganut Kristian sahaja’ pada kulit buku beserta lambang salib.

Hakim itu memutuskan demikian dalam semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland.

Jill Ireland yang merupakan seorang wanita Melanau memfailkan semakan kehakiman pada 2008 memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah dan relif bahawa hak pelembagaannya untuk mengamalkan agamanya telah dihalang melalui sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya