Tebing runtuh ancam keselamatan 1,000 penduduk

Tebing runtuh, laluan mendap ancam keselamatan 1,000 penduduk

KEADAAN tebing runtuh yang dikhuatiri membahayakan keselamatan penduduk taman perumahan berdekatan Temin di Jerantut, Pahang. - IHSAN PENDUDUK TAMAN SAUJANA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 1,000 penduduk Taman Saujana Putra dan Taman Saujana Utama serta pemilik premis perniagaan menggesa kerajaan membaik pulih runtuhan tebing dan laluan mendap di pintu masuk kawasan penempatan berdekatan Jalan Temin-Temerloh di sini.

Gesaan itu dibuat kerana runtuhan tebing dan mendapan semakin membesar sejak ia berlaku bermula tahun lalu serta membahayakan penduduk di taman berkenaan.

Kejadian itu turut menyebabkan laluan di situ bertambah sempit sehingga penduduk terpaksa berwaspada ketika berselisih antara kenderaan dan dilaporkan pernah berlaku kemalangan di laluan masuk.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Taman Saujana Putra, Ahmad Fahmi Daud berkata, runtuhan tebing dan mendapan tanah berlaku sejak musim tengkujuh tahun lalu.

“Hal ini berlaku akibat hakisan dan aliran air bawah tanah berikutan hujan lebat tahun lalu. Selepas itu pihak berkuasa tempatan cuma menutup dengan kanvas plastik bagi mengelakkan ditimpa hujan serta runtuhan berterusan.

“Sehingga kini masih berlaku runtuhan sehingga menyempitkan laluan masuk ke taman ini,” katanya di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Pon Chee Keong berharap usaha membaik pulih segera dilaksanakan memandangkan jalan itu adalah laluan utama penduduk untuk keluar masuk dan bagi kenderaan yang mengisi bahan api di sebuah stesen berdekatan.

“Kebarangkalian berlaku runtuhan tebing berterusan dan penduduk berdepan risiko keselamatan setiap kali melalui jalan itu kerana keadaan cuaca tidak menentu dan kerap berlaku hujan lebat,” katanya.

Seorang pemandu, Jaimi Abdullah berkata, setiap kali dia memandu masuk ke sebuah stesen bahan api di hadapan taman itu, dia bimbang keselamatannya apabila runtuhan di situ semakin besar.

“Saya bimbang lori yang dipandu sangat berat ketika masuk mengisi bahan api kerana boleh diancam bahaya jika berlaku runtuhan atau mendapan tanah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×