SPM 2023 dipercepat?

SPM 2023 dipercepat?

Ada ura-ura peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 dipercepatkan ke Januari 2024 berbanding pada hujung Februari untuk sesi akademik 2022/2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 berkemungkinan besar dipercepat pada Januari tahun hadapan, sebulan lebih awal berbanding SPM 2022 yang diadakan pada hujung Februari lepas.

Ia dipercayai membolehkan sesi permulaan persekolahan dapat dianjakkan secara berperingkat ke awal tahun seperti mana sebelum pandemik Co­vid-19 melanda negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber mendakwa, ura-ura peperiksaan utama dipercepatkan sedang bertiup kencang dalam kalangan pendidik, namun masih belum ada pengesahan berhubung perkara itu.

Beliau yang juga seorang pe­ngetua sebuah seko­lah mendakwa, langkah itu bagaimanapun menimbulkan kebimbangan dalam kalangan guru kerana tempoh masa yang dikhuatiri tidak mencukupi untuk menghabiskan silibus pembelajaran.

“Setakat ini belum ada hitam putih atau apa-apa arahan da­ri­pada Kementerian Pendidikan, tetapi ura-ura SPM 2023 itu di­percepatkan memang ada berlaku.

“Warga guru memang kebanyakan mengharap semester persekolahan kembali kepada asal, tetapi tidak cukup masa jika SPM diadakan pada Januari sebab tahun ini sesi bermula pada Mac,” dakwanya ketika dihubungi semalam.

Menurut pengetua itu, sebarang keputusan mempercepatkan peperiksaan utama berkenaan juga boleh memberi tekanan kepada pelajar untuk melakukan persediaan dan persiapan mereka.

Selain itu, jelasnya, waktu persekolahan juga tidak boleh kurang daripada 190 hari setahun.

“Kalau diadakan pada Januari, tempoh masa belajar budak tingkatan lima tidak cukup sebab mereka hanya belajar sembilan bulan dan cuti hujung tahun pula banyak,” ujarnya.

Peperiksaan SPM diadakan pada penghujung Februari mula dilaksanakan bagi SPM 2020 selepas negara dilanda peningkatan Covid-19 sehingga menyebabkan sesi persekolahan ditangguhkan.

Pada masa sama, sesi persekolahan pada Mac pula dilaksanakan buat pertama kali pada sesi akademik 2022/2023 dan diikuti sesi 2023/2024.

Utusan Malaysia cuba meng­hubungi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk mendapatkan respon berkaitan dakwaan peperiksaan utama itu, namun gagal.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, pihaknya percaya ia bertujuan mengembalikan semula waktu persekolahan secara berperingkat sekiranya dakwaan itu benar.

Namun, katanya, waktu tidak mencukupi tidak akan menjadi isu sekiranya SPM 2023 itu dilaksanakan pada Januari tahun hadapan.

Katanya, ini kerana tempoh tersebut tidak menunjukkan perbezaan ketara kerana dipercepatkan sebulan lebih awal sahaja.

“Bagi saya, kalau setakat Februari (dipercepatkan) Januari, maka tidak jauh beza sangat. Tetapi dengan syarat ia dikeluarkan awal…jangan pada November baru maklumkan.

“Sebab kalau betul-betul mahu percepat, maka keluarkan sekarang supaya lebih bersiap siaga,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, sebarang keputusan perlu mengambil kira semua aspek sebelum ia dimuktamadkan nanti.

Katanya, ia terutama ber­kaitan jumlah hari yang perlu dilengkapi dan mengambil kira aspek bencana yang berlaku di Pantai Timur.

Malah, katanya, banyak persoalan juga timbul sama ada langkah mempercepatkan itu boleh melengkapkan jumlah hari mengajar dan menghabiskan sukatan pelajaran sekiranya ia dilaksanakan.

“Setakat ini belum ada apa-apa makluman, tetapi jika ia dilaksanakan, kemungkinan besar ia menuju ke arah memastikan sesi persekolahan dikembalikan pada awal tahun pada 2025,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×