Sokongan kepada PN di Negeri Sembilan semakin positif

Sokongan kepada PN di Negeri Sembilan semakin positif

Datuk Eddin Syazlee Shith
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung di enam buah negeri tidak lama lagi dijangka menyaksikan pertembungan sengit antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN).

Di Negeri Sembilan, mengambil kira Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijangka dibubarkan pada hujung bulan hadapan, tempoh berbaki untuk PRN diadakan bukanlah lama.

Wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA berkesempatan menemubual Pengerusi PN Negeri Sembilan, DATUK EDDIN SYAZLEE SHITH di Senawang, Seremban bagi mengetahui persiapan parti itu dalam usaha mencipta kejutan untuk meraih kemenangan sekali gus merampas Negeri Sembilan yang kini ditadbir PH.

UTUSAN: Menjelang pembubaran DUN Negeri Sembilan yang dijangka pada hujung bulan hadapan, bagaimana persiapan PN ketika ini?

EDDIN SYAZLEE: Setakat ini kami sudah bersetuju dalam banyak isu yang melibatkan parti-parti komponen dalam PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan. Agihan kerusi juga secara dasarnya kami sudah sepakat, kalau ada beberapa kerusi yang perlu diselaraskan, ia akan diserahkan kepada pucuk kepemimpinan untuk diputuskan.

Persiapan jentera juga kami buat dari sehari ke sehari termasuk mengkaji kelemahan dan kekurangan kami pada pilihan raya umum yang lalu dengan mengambil kira kami tidak bersedia pada waktu itu. Keadaannya sangat berbeza pada hari ini termasuk sokongan yang kami terima dilihat semakin meningkat.

Bagaimana jumlah pengagihan kerusi DUN yang ditetapkan di antara ketiga-tiga parti komponen tersebut?

Sebagai sebuah parti yang diberikan tanggungjawab di Negeri Sembilan dan juga Selangor, pastinya Bersatu akan diberikan tanggungjawab yang lebih menerusi kerusi-kerusi yang diperuntukkan. Itu bukan isu yang besar kerana kami sudah ada persefahaman dan tiada pertikaian.

Kami sudah bersetuju, Bersatu sebagai parti yang memimpin akan diberikan kerusi yang lebih, tetapi tidak terlalu banyak beza dengan Pas dan Gerakan.

Datuk pernah beritahu, PN mahu sekurang-kurangnya menang di 19 kerusi DUN, secara realistiknya adakah ia mampu dicapai?

Tidak boleh tidak, kalau kita sasarkan utk memimpin Negeri Sembilan, PN perlu menang sekurang-kurangnya 19 kerusi, itu sasarannya dan kami kita sedang bekerja kuat ke arah mencapai 19 kerusi itu. Saya yakin dan berdasarkan perkembangan yang ada telah menunjukkan sambutan positif dan luar biasa kepada PN di Negeri Sembilan.

Adakah PN Negeri Sembilan sudah mempunyai calon untuk ditampilkan di setiap DUN nanti?

Mengenai calon, kami mencadangkan satu DUN itu ada tiga atau empat nama calon yang difikirkan layak dan memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan oleh pucuk pimpinan. Terpulang kepada pucuk kepemimpinan untuk menentukan siapa yang layak bertanding, ada jawatankuasanya.

Saya juga belum tahu nasib saya, saya serahkan kepada kepemimpinan tetapi yang paling penting masing-masing perlu bersedia untuk dipilih dan bersedia jika tidak terpilih sebagai calon, ini semangat yang perlu kami ada.

Seperti di peringkat Pusat, adakah PN Negeri Sembilan menerima sokongan daripada bekas-bekas pemimpin UMNO?

Ada pemimpin UMNO yang menyatakan hasrat bersama PN, di Pusat itu ramai, di Negeri Sembilan juga begitu, sudah ada bekas pimpinan parti malah bekas Ahli Parlimen lama yang mendekati dan menyatakan hasrat mahu menyokong PN.

Bukan sebab mereka mahu bertanding tetapi mahu pastikan tanggungjawab memerintah Negeri Sembilan kali ini diberikan pula kepada PN. Ini menunjukkan mereka ikhlas mahu membantu, bilangan mereka ramai dan menggalakkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×