RUU Ombudsman: Siasat setiap aduan salah taadbir sistem kerajaan

RUU Ombudsman: Siasat setiap aduan salah tadbir sistem kerajaan

AZALINA Othman Said bercakap dalam sidang akhbar selepas sesi libat urus penubuhan Ombudsman Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rang Undang- Undang (RUU) Ombudsman Malaysia 2023 kini dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan sebelum dibentangkan di Parlimen pada Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RUU itu akan dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan peringkat dasar.

“Ombudsman yang akan dicadangkan berfungsi menerima, mengendali dan menyelesaikan aduan berkaitan salah tadbiran sistem penyampaian perkhidmatan awam bagi meningkatkan tadbir urus yang baik.

“Kami melakukan beberapa pindaan dasar termasuk mewujudkan kuasa menyiasat dan memastikan jangka masa tidak terlalu lama diambil bagi menangani setiap aduan orang awam,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, Ombudsman itu kelak mesti berfungsi sebagai badan bebas dan tidak boleh berfungsi seperti agensi kerajaaan lain.

Azalina berkata, badan itu juga perlu mewujudkan laporan tahunan untuk dibentang dan dibahaskan di Parlimen selain pelantikan anggota dicadangkan enam tahun dan tiada pelanjutan.

Menurutnya, fungsi Ombudsman juga tidak akan bertindih dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan ia berfungsi menyiasat semua jenis salah tadbiran sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Ombudsman juga akan memastikan aduan tier kedua dan pertama diuruskan dalam keadaan tertentu bagi memastikan ada badan yang mengambil perhatian aduan yang dibuat.

“Kita mahu rakyat tahu bahawa Kerajaan Perpaduan ini memberi maklum balas kepada aduan dibuat, malah kita juga tidak mahu situasi kerajaan betul setiap masa,” katanya.

Pada masa sama, katanya, hampir 85 peratus aduan kategori tier pertama iaitu membabitkan aduan berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) di mana hampir 20,000 aduan membabitkan isu lampu jalan, longkang dan parkir.

“Manakala, aduan tier kedua itu pula membabitkan aduan secara terus ke kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.

Terdahulu, satu sesi libat urus dilaksana Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM bersama agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Perkhimatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia, pertubuhan bukan kerajaan seperti Majlis Peguam , CEUPACS, Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Dalam pada itu, Azalina berkata, kerajaan juga akan mengadakan sesi taklimat dengan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada sidang Parlimen akan datang bagi mendapatkan input dan pandangan dalam memuktamadkan RUU itu dengan kadar segera.

“Penubuhan Ombudsman Malaysia ini adalah penting ke arah sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap dan efektif serta kerajaan yang lebih responsif dan adil terhadap rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya