Ombudsman bukan setakat pantau salah laku sektor awam

Ombudsman bukan setakat pantau salah laku sektor awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANG Undang-Undang Ombudsman Malaysia yang telah lama dijanjikan akan dibentangkan di Parlimen pada awal 2026. Agensi pusat ini akan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Biro Pengaduan Awam (PCB) bagi menyediakan saluran aduan awam berpusat untuk memacu reformasi perkhidmatan awam, meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan memperkukuh tadbir urus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan penubuhan Ombudsman Malaysia bagi memperkukuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam sektor awam.

Banyak negara maju menubuhkan Ombudsman yang akan mengendalikan aduan salah tadbir dan salah laku dan dengan mandat yang lebih luas untuk memperkukuh integriti dan ketelusan di seluruh sektor awam.

DI bawah undang-undang baharu, Ombudsman boleh menyiasat aduan terhadap perkhidmatan awam, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.

Model Sarawak
Sarawak harus dipuji kerana menjadi negeri pertama di Malaysia yang menggubal Ordinan Ombudsman 2023, dengan mewujudkan badan pengawas bebas untuk menyelia pentadbiran awam. Langkah ini menjanjikan ketelusan, akauntabiliti dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik.

Di bawah undang-undang baharu ini, Ombudsman boleh menyiasat aduan terhadap perkhidmatan awam, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan negeri, menangani isu-isu seperti ketidakcekapan pentadbiran, penyalahgunaan kuasa, kelewatan, salah laku dan kegagalan prosedur.

Bahkan, ia boleh melaporkan terus kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak, mengenakan sekatan terhadap halangan atau maklumat palsu dan mengeluarkan cadangan pembetulan, memastikan kuasanya lebih daripada sekadar simbolik. Banyak kejayaan dan kesan positif dari segi ketelusan dan akauntabiliti.

Apa yang memberangsangkan, ketua Ombudsman dan timbalan-timbalannya dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, mestilah terdiri daripada pakar dalam undang-undang, tadbir urus, pentadbiran atau kewangan manakala ahli politik dan pegawai awam dihalang untuk memastikan kebebasan serta ketelusan.

Ordinan Ombudsman 2023 meletakkan Sarawak sebagai perintis dalam tadbir urus Malaysia, menetapkan penanda aras untuk ketelusan dan akauntabiliti di seluruh negara.

Kelemahan Semasa
Dua badan utama yang ditugaskan untuk menangani aduan awam terhadap agensi penguatkuasaan dan perkhidmatan awam ialah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Biro Aduan Awam (PCB). Akta EAIC membenarkannya menjalankan siasatan bebas dengan memanggil saksi untuk memberi keterangan, seperti yang telah dilakukannya dalam beberapa kes yang melibatkan kematian banduan dalam tahanan polis.

EAIC hanya berkuasa membuat pengesyoran yang tidak mengikat (non-binding recommendations) terhadap agensi penguatkuasaan seliaan. Tindakan tatatertib atau sekatan muktamad tertakluk kepada pihak berkuasa disiplin agensi berkaitan, bukan ditentukan secara terus oleh EAIC. Agensi penguatkuasaan tidak diwajibkan secara automatik untuk melaksanakan syor tersebut. Situasi ini wajib dinilai semula dalam Akta Ombudsman.

PCB juga tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk bertindak atas aduan dan menguatkuasakan tindakan, sering menghadapi kelewatan atau ketiadaan kerjasama daripada pegawai kerajaan. Keberkesanan PCB sangat bergantung kepada kesediaan agensi yang diadu untuk bekerjasama dan mengambil tindakan pembetulan.

Ombudsman Sarawak sejajar rapat dengan model Ombudsman Hong Kong (keadilan pentadbiran), manakala PCB pada masa ini bertindak hanya sebagai pemudah cara atau mediator. Ia kekurangan kebebasan, tidak mempunyai kuasa penguatkuasa di bawah mana-mana akta untuk “menghukum” agensi yang ingkar atau tidak mahu bekerjasama.

Manakala EAIC terletak di antara Ombudsman dan badan tatatertib tetapi kekurangan kekuatan penguatkuasaan. EAIC sering disifatkan sebagai badan yang berada di tengah-tengah antara model Ombudsman (pengawasan tadbir urus) dan Badan Tatatertib (hukuman dalaman), namun ia menghadapi kekangan besar dari segi punca kuasa penguatkuasaan.

Walau bagaimanapun, Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr. Ismail Bakar telah memberi sokongan kuat dan mengambil inisiatif untuk memajukan pembaharuan Ombudsman melalui perbincangan serta perundingan yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan penglibatan dengan masyarakat sivil untuk memperkukuh ekosistem tadbir urus.

Model Terbaik
Model terbaik mengimbangi kebebasan, kuasa, aksesibiliti, keberkesanan dan ketelusan sambil melengkapi dan bukannya menduplikasi kerja badan penguatkuasaan lain.

Untuk memastikan amalan terbaik bagi Ombudsman Malaysia, kerajaan wajar menanda aras sistem Ombudsmen Sarawak serta model Hong Kong, Sweden dan United Kingdom (UK), disesuaikan dengan konteks tempatan. Langkah ini akan memperkukuh tadbir urus, kecekapan, perlindungan pemberi maklumat dan keyakinan rakyat terhadap akauntabiliti kerajaan.

Hong Kong memisahkan peranan suruhanjaya bebas (ICAC) dan Ombudsman untuk memastikan kejelasan dan kepercayaan awam. Sweden mempunyai Ombudsman bebas dengan pelaporan telus, manakala Ombudsman Parlimen UK mengendalikan aduan berkesan dan melapor terus kepada Parlimen. Setiap institusi mempunyai kuasa jelas termasuk kuasa pendakwaan mengikut perundangan masing-masing.

Kejayaan Ombudsman bergantung pada penyiasatan dan cadangan berkesan, dengan pendakwaan diserahkan kepada pendakwa raya; Filipina berdepan masalah kuasa dan campur tangan politik, Malaysia perlu mengambil iktibar kerana menjenamakan semula badan pengawasan tanpa tindakan nyata, tiada maknanya.

Alat Sokongan

Seiring perkembangan teknologi digital, Ombudsman Malaysia perlu memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), blockchain dan data terbuka untuk meningkatkan ketelusan, kecekapan, membendung rasuah serta memperkukuh kepercayaan dan penyertaan rakyat, sambil menekankan tadbir urus insan yang mengutamakan moral dan etika manusia.
Strategi dan tindakan yang kredibel memberi impak nyata, bukan sekadar memperbaiki dan meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 yang mencatat skor 50 dengan kedudukan ke-54 daripada 182 negara bahkan merealisasikan sasaran Malaysia berada dalam 25 negara teratas CPI menjelang 2033.

Kepimpinan
Ombudsman Malaysia memerlukan kepimpinan kukuh untuk berkesan, berlandaskan tiga kualiti utama: Integriti-beretika dan bebas kepentingan peribadi. Merit- pengalaman, kecekapan dan profesionalisme; serta keberanian-berani kerana benar, melaksanakan tugas tanpa takut atau pilih kasih walaupun menghadapi arahan menyalahi undang-undang.

Tanpa kepimpinan yang kuat dan penguatkuasaan yang tegas, undang-undang yang terbaik sekalipun akan kekal tidak berkesan, sekali gus mewujudkan jurang antara teori perundangan dan realiti pelaksanaannya, pada akhirnya, kualiti tadbir urus manusia tetap paling penting. – UTUSAN

DATUK Seri Dr. Akhbar Satar ialah profesor dalam bidang Jenayah dan Kriminologi di Universiti HELP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN