R&D pertahanan negara manfaatkan kepakaran ATM

R&D pertahanan negara manfaatkan kepakaran ATM

PAVILION Kementerian Pertahanan menampilkan pelbagai projek penyelidikan dan pembangunan termasuk Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kepakaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) daripada ketiga-tiga cabang ketenteraan itu meletakkan produk inovasi dihasilkan mereka setanding dengan ciptaan pihak industri.

Penghasilan pesawat tanpa pemandu (UAV) oleh pasukan inovasi Tentera Darat Malaysia (TDM) misalnya antara produk berimpak tinggi yang boleh memanfaatkan ATM dan Kementerian Pertahanan.

SMART UAVTD dibangunkan rentetan daripada peristiwa pencerobohan Lahad Datu pada 2013 apabila sewaan pesawat tersebut daripada pihak luar melibatkan kos yang amat tinggi setiap kali operasi.

Pengarah Strategik dan Inovasi Bahagian Inspektorat Tentera Darat, Kolonel Ts. Dr. Mohd. Ghazali Abdul Rahman berkata, projek tersebut boleh digunakan untuk pasukan itu melakukan rondaan ke kawasan yang luas sehingga berjarak ratusan kilometer atau sempadan negara.

“Penggunaan UAV membolehkan kita dapat mencerap data dengan lebih cepat dan tepat selain meringankan beban anggota yang tidak perlu membuat rondaan berkala dengan kerap. Malah ia juga boleh dikembangkan kepada penggunaan komersial seperti pemantauan jalan raya, bencana dan tugas kecemasan.

“Selain UAV yang dibangunkan sejak 2016, kita turut menghasilkan MG Robotik dan B-Tech System yang merupakan alat penjujusan brek kenderaan dengan kesemua produk ini disasar dapat dipatenkan atau sekurang-kurangnya digunakan oleh ATM,” katanya ketika ditemui pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA23).

Sementara itu, Penyelia Inovasi Markas Tentera Laut, Pegawai Waran I Mohd. Nazri Apandi berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengetengahkan idea Floating DC (Damage Control) Bag yang merupakan peralatan utama dalam proses mengawal kebanjiran.

“Ciptaan ini bertujuan untuk mengatasi masalah peralatan berselerak ketika digunakan dan kemungkinan alat mengawal kebanjiran hilang semasa berhadapan situasi itu. Kebolehan beg terapung ini membolehkan peralatan disusun lebih teratur dan mudah dikendalikan,” katanya.

Dalam pada itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai beberapa produk inovasi antaranya Cartridge Destroyer; Digital Defect Report (DDR); Alert Alexander (Alexander); Knight Bi Electronic Management System (K-Beams) dan Rain Data Processor (Rain).

Ketua Flait Rancang dan Piawaian Pusat Pemerhatian Kejuruteraan Aerospace (PUSPEKA) Pangkalan Udara Subang, Mejar Mohd. Haziq Izzat Sulaiman berkata, projek-projek itu pernah memenangi Anugerah Inovasi di peringkat Kementerian Pertahanan.

“DDR mencepatkan penghantaran maklumat mengenai kerosakan yang boleh dilapor di mana-mana sahaja untuk dilaksanakan dalam tempoh 24 jam. Kita boleh hantar gambar dan tahu kemajuan kerja di situ selain mengurangkan penggunaan kertas berbanding kaedah manual sebelum ini.

“Bagi Cartridge Destroyer ia berfungsi untuk memusnahkan kelongsong peluru yang telah digunakan bagi mengelak ia diguna pakai semula kerana menjadi satu kesalahan. Rain pula adalah satu sistem yang dapat merekod proses menyelamat banjir atau perang sebagai bahan bukti,” katanya.

Ketua Flait Kejuruteraan Pusat Latihan Terbang 3 Pangkalan Udara Kuantan, Mejar Muhammad Faiser Mat Ali pula menjelaskan, produk Alexander merupakan sistem pengesan dan pemantauan kebakaran yang lebih efisien bagi bangunan berisiko tinggi.

“Ia menyediakan dwi lapisan amaran yang mampu mengelak daripada terlepas pandang di mana pihak bertanggungjawab dapat respon kepada kebakaran yang berlaku dengan lebih pantas kerana amaran dihantar terus kepada pihak bomba contohnya berbanding penggera sedia ada yang hanya berbunyi di bangunan yang terbakar itu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Wan Mustafa Wan Hanafi berkata, pihaknya menyediakan khidmat sokongan teknikal iaitu melakukan penilaian terhadap projek R&D yang dihasilkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.