Mindef peruntuk RM6 juta laksana Program Jiwa Murni

Mindef peruntuk RM6 juta laksana Program Jiwa Murni

MOHAMED Khaled Nordin (kanan) menyantuni orang ramai ketika hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Jiwa Murni Madani Kementerian Pertahanan 2026 di Dewan Felda Maokil 1, Muar, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Kementerian Pertahanan (Mindef) memperuntukkan RM6 juta untuk melaksanakan 57 projek melalui Program Jiwa Murni (PJM) fasa pertama melibatkan lapan buah negeri, setakat ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara projek yang dilaksanakan menerusi inisiatif itu termasuk pembaikan masjid dan surau, dewan serta balai raya, sekolah, infrastruktur awam, kawasan perkuburan dan fasiliti sukan.

Katanya, inisiatif itu secara tidak langsung menyerlahkan kepakaran teknikal warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).

“Kita ambil pendekatan Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) yang membawa maksud kejayaan pertahanan negara. Meletakkan pertahanan negara hanya tanggungjawab eksklusif angkatan bersenjata adalah sesuatu yang tak lagi relevan zaman ini.

“Sebaliknya, kejayaan pertahanan dan keselamatan negara mesti melibatkan rakyat dan perkara itu hanya boleh dibuat melalui hubungan baik antara masyarakat dan ATM melalui program-program dilaksanakan seperti Program Jiwa Murni (PJM) dan program-program lain,” katanya kepada pemberita ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Jiwa Murni Madani Kementerian Pertahanan 2026 di Dewan Felda Maokil 1, di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, antara program dilaksana Kementerian Pertahanan yang melibatkan penyertaan masyarakat umum termasuklah program gotong-royong dan program berkaitan agama.

“Program gotong-royong dibuat bagi melaksanakan projek-projek kemudahan asas yang diperlukan penduduk setempat, manakala program berkaitan agama berkenaan usaha menyuburkan agama Islam dalam kalangan masyarakat.

“Kita amat berharap usaha ini mencapai matlamat ditetapkan dengan sokongan kerajaan dan juga masyarakat. Kita juga harap ia akan dilaksanakan di seluruh negara agar lebih ramai pihak terima manfaat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN