KUALA LUMPUR: Pendaki solo negara, T Ravichandran kini dikejarkan ke hospital di Kathmandu, Nepal berikutan kecederaan dijarinya akibat radang dingin (frostbite).
Ia merupakan perkembangan terkini selain daripada sembilan pendaki dunia yang maut ketika menawan puncak Everest.
Perkara itu disahkan isterinya, Leela Ramamurthy menerusi satu kenyataan dengan menjelaskan, suaminya telah dikejarkan ke hospital menaiki helikopter susulan kecederaan yang dialaminya sekali lagi ketika 200 meter untuk sampai ke puncak gunung keempat tertinggi dunia, Lhotse yang berketinggian 8,516 meter.
“Namun, beliau berjaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera penaja Himalaya Sports di gunung tertinggi di dunia, Everest berketinggian 8,848 meter pada 17 Mei 2023 jam 12 tengah hari (waktu Nepal), untuk kali yang ke-4,” katanya.
T. Ravichandran menyertai Ekspedisi Himalaya Sports Everest-Lhotse 2023 dalam cubaan melakar rekod negara apabila menjadi pendaki Malaysia pertama menawan puncak Gunung Lhotse selepas mengibarkan bendera di puncak Gunung Everest, dengan hanya mengambil masa 24 jam.
“Saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang dilaporkan meninggal dunia ketika dalam misi menawan Everest menerusi Malaysia Everest 2023 (ME2023), hari ini,” ujarnya.
T. Ravichandran akan pulang ke tanah air dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 21 Mei 2023 (Ahad) jam 9 pagi (waktu Malaysia). – UTUSAN










