SEPANG: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian cabul yang dipercayai dilakukan seorang pemandu e-hailing terhadap penumpang wanita ketika dalam perjalanan ke Terminal KLIA 2 pada 16 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lingkungan 20-an telah menempah perkhidmatan e-hailing sebelum suspek dipercayai meminta wanita itu duduk di tempat duduk hadapan kenderaan.
Menurut beliau, ketika dalam perjalanan, suspek dipercayai bertindak menyentuh paha kanan mangsa sebanyak dua kali tanpa kerelaannya sebelum mangsa mengambil keputusan keluar dari kenderaan berkenaan.
“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dan telah dikenal pasti. Keterangan suspek juga telah dirakam bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan siasatan telah dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.
Dalam pada itu, Norhizam menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Katanya, individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN










