KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Khai Bahar, 32, mengakui kini semakin jarang mengemas kini hantaran di media sosial kerana mahu mengelakkan setiap perkongsiannya disalah tafsir sehingga mencetuskan cerita yang tidak benar.
Menurut Khai, pengalaman lalu apabila perkongsiannya dijadikan bahan untuk mencetuskan pelbagai andaian membuatkannya lebih berhati-hati dalam berkongsi mengenai kehidupan peribadi dan aktiviti harian.
“Sebenarnya saya lebih jarang mengemas kini Instagram Story. Bukan apa, tetapi sebelum ini apabila saya berkongsi sesuatu, ramai yang salah faham. Ada pihak yang mengambil sesuatu perkara daripada hantaran saya untuk dijadikan cerita.
“Jadi, saya mahu mengelakkan perkara seperti itu. Sekarang saya lebih banyak berkongsi dengan kumpulan peminat saya.
“Mereka sahaja yang tahu tentang aktiviti dan perkembangan saya. Alhamdulillah, dengan sokongan mereka, saya masih mempunyai pelbagai aktiviti dan acara bersama peminat,” katanya.
Khai berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pratonton Eksklusif drama vertikal Impian Di Seoul Antara Cinta dan Cita-Cita terbitan Redcomm di Mytown, petang tadi.
Dalam pada itu, Khai menafikan tindakannya mengurangkan perkongsian di media sosial mempunyai kaitan dengan kebimbangan terhadap penyakit ain, sebaliknya sekadar mahu mengelakkan ruang kepada pihak tertentu untuk mencipta spekulasi.
“Tidak juga. Seperti yang saya katakan, saya cuma mahu mengelakkan orang daripada mencipta cerita tentang perkara yang sebenarnya tidak berlaku.
“Kalau berkaitan kerja atau perkara penting, saya tetap akan berkongsi. Mana yang boleh dikongsikan, saya akan kongsikan.
“Tetapi kalau perkara itu tidak perlu, saya memilih untuk tidak berkongsi kerana saya tidak mahu orang menganggap saya terlalu menunjuk atau berlebih-lebihan sehingga ada yang tidak suka melihatnya,” jelasnya.
Pada masa sama, penyanyi lagu Bayang itu mengakui sedang mengambil sedikit ruang untuk menstabilkan emosinya agar tidak mudah terkesan dengan kata-kata atau pandangan pihak lain.
“Ini bukan sebab trauma. Saya cuma tidak mahu perkara yang saya lakukan menimbulkan spekulasi atau sangkaan buruk sehingga akhirnya turut menjejaskan emosi peminat.
“Saya sebenarnya kasihan kepada mereka. Saya rasa mereka terlalu memikirkan keadaan emosi saya sehingga emosi mereka sendiri turut terganggu. Mereka juga mempunyai kehidupan dan pekerjaan masing-masing.
“Saya menghormati kehidupan harian mereka. Saya tidak mahu mereka terlalu fokus selama 24 jam untuk memantau saya. Saya tahu mereka sayangkan saya dan saya juga sayangkan mereka.
“Saya tidak mahu mereka terlalu memikirkan keadaan saya sehingga tidak dapat memberi perhatian kepada kehidupan sendiri, terutamanya apabila ada orang berkata macam-macam tentang saya,” katanya.
Sementara itu, Khai yang juga duta mi segera Nongshim Shin Ramyun bersama penyanyi dan pelakon, Wany Hasrita muncul dengan drama Impian Di Seoul musim kedua bermula malam ini di Tiktok.










