Rakyat harus main peranan positif junjung nilai moral, akhlak dan etika - Johari  Abdul

Rakyat harus main peranan positif junjung nilai moral, akhlak dan etika – Johari  Abdul

JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat yang diwakili pergerakan masyarakat sivil harus bertindak seiring, seia sekata dengan penuh sedar bertanggungjawab dan memainkan peranan positif dalam agenda menjunjung nilai moral, akhlak serta etika. 

Demikian pesanan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul sempena Siri Syarahan Parlimen 2.0 2023, bertema Budi Membentuk Tamadun dalam Konteks Masyarakat Madani, di Dewan Bankuet, Parlimen, Sabtu lalu. 

Kata beliau, kekuatan bangsa harus ditunjangi kemanusiaan yang kuat selain semangat berdaya saing yang tinggi. 

“Pemerkasaan institusi kerakyatan, reformasi institusi, perdebatan polisi dan wacana di ruang awam yang sememangnya menjadi antara medan gerak kerja masyarakat madani haruslah berpaksikan prinsip, nilai, etika dan moral yang bukan sahaja universal. 

“Bahkan, ia harus adil dan seimbang dengan mengambil kira faktor agama, budaya dan sensitiviti kesmayarakatan yang dinamik sifatnya,” katanya dalam ucapan. 

Yang hadir sama dalam forum itu Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Datuk Dr. Rais Yatim; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan ahli-ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat. 

Setiausaha Dewan Negara, Muhd. Sujairi Abdullah; Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin; Felo Kuwait dalam Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam dan Pensyarah Pusat Pengajian Islam, Fakulti Teologi, Universiti Oxford, Datuk Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti turut serta dalam program itu.  

Dalam pada itu, kata Johari, konsep budi adalah pemikiran serta perbuatan yang terbaik untuk manusia dan amalan nilai-nilai murni yang sangat penting bagi menjaga keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini. 

Jelasnya, masyarakat yang berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian dapat melahirkan satu bangsa Malaysia yang budiman demi melestarikan kehidupan yang bertamadun tinggi. 

“Kerajaan melalui agensi perkhidmatan awam telah menetapkan nilai-nilai yang harus dipegang oleh sesebuah organisasi seperti bersih, cekap, amanah, tekun, bertanggungjawab, menganggap kerja sebagai ibadah dan mesra pelanggan untuk menjadikan organisasi lebih berdisiplin dan teratur. 

“Konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan, menekankan pemerkasaan ekonomi dan budaya yang berteras nilai, etika atau akhlak. 

“Agenda pembangunan negara harus menanggapi soal keyakinan dan kemanusiaan. Harus ada kesedaran daripada semua pihak bukan sahaja di peringkat agensi kerajaan, malah pihak swasta untuk memberi nafas yang sinergistik kepada keampuhan leluhur bangsa daripada semua kaum dan agama,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya