Queen of Rock ‘n’ Roll sudah tiada - Utusan Malaysia

Queen of Rock ‘n’ Roll sudah tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA hiburan antarabangsa dua hari lepas dikejutkan dengan pemergian penyanyi bertaraf legenda, Tina Turner yang meninggal dunia pada usia 83 tahun.

Selepas bertahun-bertahun menderita kanser, kegagalan buah pinggang dan strok, penghibur versatil yang mendapat jolokan Queen of Rock ‘n’ Roll itu akhirnya menghembuskan nafas terakhir di kediamannya dekat Zurich, Switzerland.

Dunia kehilangan penghibur ikonik, yang perjalanan kerjaya seninya penuh warna dan cerita tersendiri. Turner merupakan inspirasi, dengan rangkaian lagu-lagu hits yang mendominasi era 60-an dan awal 70-an.

Pemilik nama sebenar Anna Mae Bullock ini lahir dan dibesarkan di Tennessee, Amerika Syarikat. Mendiang dijaga neneknya selepas ibu bapanya berpisah.

“Kami tidak miskin, masih mampu makan. Cuma saya tidaklah dibesarkan dengan kemewahan, tidak memiliki benda yang diimpikan kanak-kanak lain seperti basikal.

“Saya kanak-kanak yang lurus, minat mendengar radio dan tidak pernah bercita-cita menjadi seorang bintang sehinggalah saya dibenarkan sebuah keluarga kulit putih menonton televisyen di rumah mereka seminggu sekali,” katanya.

Turner kemudiannya mengikuti kakaknya berpindah ke St. Louis untuk tinggal bersama ibu mereka selepas neneknya meninggal dunia. Ketika itulah Turner, yang berusia 17 tahun mula masuk ke dalam dunia nyanyian dengan menyertai band Kings of Rhythm bersama bekas suaminya, Ike Turner.

Didera suami

Mendiang menempa nama sekitar 1960 bermula dengan penubuhan Ike & Tina Turner Revue. Mendiang dan Ike kemudiannya berkahwin pada 1962, dan membesarkan empat orang anak.

Hidup dalam keadaan tersiksa, Turner menjadi mangsa dera suami bertopengkan syaitan. Realiti tersebut didedahkan mendiang dalam sesi wawancara dan autobiografinya sebelum ini.

Turner mengakui sering dipukul suami, bahkan pernah berkali-kali dikasari sebelum membuat persembahan.

“Dia menumbuk saya di perut dan mata sehingga lebam. Dia mahu orang tahu saya dipukulnya,” kongsinya.

Turner terperangkap dalam keadaan itu bertahun lamanya, tanpa sekelumit keberanian untuk meninggalkan suami yang bersikap baran.

Namun, segalanya berubah pada Julai 1976, apabila mendiang bertekad meninggalkan bilik hotel di Dallas ketika suaminya tidur. Turner ketika itu hanya berbekalkan keberanian dan wang berjumlah 36 sen.

Kebangkitan semula

Turner bercerai dengan Ike pada 1978. Mendiang diceraikan sehelai sepinggang, membuatkannya berdepan episod kemerosotan kewangan yang dahsyat. Turner juga terpaksa menempuh jalan sukar untuk membina semula kariernya.

Namun segalanya berubah selepas mendiang melantik pengurus, Roger Davies pada 1979. Pencapaian demi pencapaian diraih termasuk sambutan luar biasa diterima mendiang apabila lagu Let Stay Together yang dinyanyikannya menjadi hit di United Kingdom.

Momentum kerjaya Turner juga memuncak dengan kelahiran album Private Dancer yang terjual lebih 10 juta cetakan, melayakkan Turner memenangi tiga anugerah Grammy pada tahun sama.

Pada masa sama, salah satu single dalam album berkenaan, What’s Love Got to Do with it menjadikan mendiang yang ketika itu berusia 44 tahun artis rakaman paling senior memiliki single yang berjaya menduduki tangga pertama dalam carta.

Derita kanser

Mendiang menerusi autobiografi My Love Story yang diterbitkan pada 2018 mendedahkan menderita beberapa penyakit kronik termasuk tekanan darah tinggi sejak 1978. Penyakit tersebut mengakibatkannya menderita kegagalan buah pinggang.

Pada 2013, mendiang diserang strok beberapa minggu selepas mengahwini Erwin Bach. Dia terpaksa menjalani rawatan untuk membolehkannya berjalan semula.

Pada 2016, mendiang disahkan menghidap kanser usus dan pada masa sama menjalani rawatan dialisis akibat kerosakan buah inggang. Pada April 2017, Turner menjalani pembedahan transplant buah pinggang.

Turner meninggal dunia di samping keluarga di kediamannya di Switzerland. Mendiang meninggalkan legasi muzik cukup besar buat peminatnya seluruh dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya