Purata 400 aduan masalah rumah tangga diterima Jakim setiap bulan

Purata 400 aduan masalah rumah tangga diterima Jakim setiap bulan

TIMBALAN Ketua Pengarah (Dasar), Datuk Sirajuddin Suhaimee (dua dari kanan) menyaksikan pemeteraian memorandum program kaunseling syarie dan usrah interaktif ‘Sisterhood’ di Kompleks Islam Putrajaya. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengakui masih lagi menerima secara purata hampir 400 aduan kes berkaitan masalah rumah tangga pada setiap bulan.

Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), Jakim, Mohd. Norizan Abd. Ghani berkata, aduan diterima menerusi talian MyCareJakim ketika ini dengan majoriti aduan berkaitan kes suami culas bayar nafkah tanggungan.

Beliau berkata, sejak MyCareJakim bermula pada April 2020 ketika pandemik Covid-19, mereka sudah menerima lebih 10,000 aduan.

“Daripada jumlah itu, hampir 90 peratus melibatkan kes untuk khidmat nasihat kaunseling syarie dan terapi psikospiritual dengan kebanyakan berkisar isu rumah tangga,” jelasnya selepas menyaksikan sesi pemeteraian memorandum persefahaman dengan Mercy Mission Malaysia dalam Program Kaunseling Syarie dan Usrah Interaktif Kumpulan ‘Sisterhood’ di sini hari ini.

Menerusi inisiatif baharu dikenali ‘Sisterhood’, ia bekerjasama dengan pihak Jakim yang akan menyediakan kaunselor bertauliah mengendalikan kumpulan kecil disertai 10 orang.

Ketika diperkenalkan bersama talian KSKCareCentre, ujar beliau, ramai mengadu kerana tertekan dengan Perintah Kawalan Pergerakan, tiada pendapatan dan kehilangan kerja.

Walau bagaimanapun, jumlah panggilan diterima kebelakangan ini sudah pun turun dan ia mungkin disebabkan peralihan kepada era pemulihan pasca-pandemik pada tahun lepas.

Dalam pada itu, Penasihat Mercy Mission Malaysia, Kartine Baharudin berkata, pihaknya menyasarkan 50 orang wanita menyertai kaunseling berkumpulan “Sisterhood’ tersebut.

Mereka akan dibantu 10 kaunselor berdaftar disediakan oleh Jakim dengan sesi diadakan atas talian manakala setiap tiga bulan, mereka akan perlu melakukan sesi bersemuka.

Program itu ujarnya, akan berlangsung selama 12 bulan dengan modul tema yang berbeza setiap bulan dan semua peserta dibahagikan mengikut jenis permasalahan dialami.

“Menerusi cara sebegini, mereka akan lebih berani meluahkan isi hati tanpa rasa malu kerana semua peserta dalam kumpulan itu berkongsi kisah pengalaman sama,” jelasnya yang turut memberitahu laman rasmi www.sisterhood.com.my mula dibuka hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.