Muslim Friendly Watch akui kesilapan, umum bubar secara rasmi

Muslim Friendly Watch akui kesilapan, umum bubar secara rasmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Muslim Friendly Watch (MFW) mengumumkan pembubaran serta-merta dan menghentikan semua operasi organisasi serta sistem berkaitan susulan arahan pihak berkuasa berhubung isu penggunaan label Muslim Choice.

MFW berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengambil maklum teguran dan ketetapan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) susulan kekeliruan yang timbul dalam masyarakat.

“Langkah ini diambil sebagai tanda menghormati kepada pihak berkuasa agama dan keinsafan terhadap keperluan menjaga kemaslahatan umat Islam serta nama baik agama.

“Kami membubarkan secara rasmi MFW mengikut Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan proses ini akan dilaksanakan dengan tertib bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya dalam kenyataan.

Keputusan itu dibuat susulan kekecohan awam apabila label Muslim Choice diperkenalkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mencetuskan persepsi ia seolah-olah satu bentuk pengiktirafan halal rasmi.

Isnin lalu, Presiden MFW, Noorman Kamsani membuat permohonan maaf secara terbuka atas kekeliruan yang berlaku, manakala Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee menegaskan label tersebut bukan penandaan halal yang diiktiraf mana-mana pihak berkuasa.

Pihak MFW memahami sepenuhnya setiap tindakan dan keputusan yang diambil oleh pihak berkuasa adalah berpaksikan kepada kepentingan agama, keharmonian masyarakat serta menjaga sensitiviti umat Islam.

“Justeru, kami menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka, penuh rasa tanggungjawab dan rendah diri.

“Bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli MFW, kami memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada pihak berkuasa agama, agensi kerajaan serta mana-mana individu atau pihak yang mungkin terkesan akibat daripada kekeliruan, salah faham atau kecuaian di pihak kami,” kata kenyataan itu.

Katanya, pihak MFW mengambil pengajaran daripada perkara yang berlaku dan berazam untuk memperbaiki serta terus menyumbang kepada masyarakat berlandaskan garis panduan pihak berkuasa agama.

“Kami menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan panduan, teguran, nasihat serta doa yang membina sepanjang proses ini.

“Semoga Allah SWT memberikan petunjuk dan rahmat kepada semua pihak yang berusaha menjaga kemuliaan agama dan kesejahteraan semua,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN